Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Filipina Gesa Peranan Lebih Tegas ASEAN Tangani Persaingan Kuasa Besar

25/05/2025 11:46 PM

Oleh WAN MUHAMMAD ASLAH WAN RAZALI

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Filipina melihat ASEAN sebagai platform penting untuk memelihara kestabilan serantau dan mengelakkan Asia Tenggara daripada terjerumus dalam persaingan kuasa besar yang semakin meningkat antara Amerika Syarikat dan China.

Setiausaha Luar Filipina Enrique Manalo menegaskan ASEAN perlu mengekalkan kepusatannya sebagai pemudah cara dan kuasa penstabil ketika ketegangan antara dua kuasa itu terus memuncak dalam aspek keselamatan dan ekonomi.

“Kami percaya, sekurang-kurangnya bagi Filipina, negara-negara di rantau ini, khususnya kuasa sederhana dan kecil, mempunyai agensi sendiri.

“Kita bertanggungjawab menentukan masa depan kita, masa depan rakyat kita, dan masa depan rantau ini tidak seharusnya ditentukan oleh kuasa besar,” katanya dalam temu bual bersama Bernama dan Reuters sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.

Manalo mengakui kerumitan landskap geopolitik semasa, namun menegaskan kekuatan ASEAN terletak pada keupayaannya mewujudkan dialog dalam kalangan kuasa besar.

Ad Banner

Manalo turut menekankan peranan ASEAN sebagai pemudah cara dan mengusahakan rundingan dalam kalangan kuasa serantau, menyediakan platform dialog untuk mengurus ketegangan dan memupuk kestabilan.

Beliau berkata penerimaan Visi ASEAN pada sidang kemuncak ini akan memperkukuh kerjasama dan integrasi, membolehkan negara anggota membentuk masa depan bersama secara lebih berkesan.

Mengenai hubungan dengan Amerika Syarikat susulan kembalinya Donald Trump sebagai Presiden, Manalo berkata hubungan kedua-dua negara kekal kukuh dan stabil, diperkukuh oleh kerjasama keselamatan dan ekonomi.

“Kami telah mengesahkan semula komitmen... bukan sahaja dalam aspek keselamatan, tetapi terutamanya menerusi kerjasama ekonomi. Hubungan dengan AS berada pada landasan yang sangat positif,” katanya.

Beliau turut mengesahkan bahawa Kedutaan Filipina di Manila dan Washington sedang menyelaras kemungkinan pertemuan antara Presiden Ferdinand Marcos Jr dan Presiden Trump.

Mengenai isu Laut China Selatan, Manalo menegaskan strategi pelbagai saluran Filipina yang merangkumi diplomasi dua hala, tiga hala dan serantau, serta penekanan terhadap usaha menggubal Kod Tatalaku (COC) yang mengikat dan substantif berlandaskan undang-undang antarabangsa.

“Filipina kini lebih bertekad untuk mempercepat rundingan COC. Pada pandangan kami, ia perlu berkesan, substantif dan berasaskan UNCLOS,” katanya.

Beliau menekankan bahawa COC harus membantu mengurus ketegangan, menyelesaikan pertikaian, dan menetapkan tingkah laku yang boleh diterima dalam kalangan negara yang menuntut kawasan, selaras dengan komitmen negara itu kepada penyelesaian pertikaian secara aman.

Mengulas isu Second Thomas Shoal, lokasi pos ketenteraan Filipina bagi menegakkan kedaulatan di tengah tekanan China, Manalo mengesahkan bahawa persefahaman sementara dengan Beijing masih berkuat kuasa.

Beliau berkata meskipun Filipina mengutamakan penyelesaian diplomatik, sebarang aturan di  masa depan di kawasan seperti Terumbu Sabina dan Scarborough akan bergantung kepada perkembangan semasa.

Manalo turut menegaskan strategi diplomatik Filipina yang merangkumi penghantaran bantahan rasmi serta menggunakan mekanisme dialog ASEAN untuk menangani isu maritim.

Mengenai saluran komunikasi Filipina-China, beliau memaklumkan bahawa walaupun perbincangan telah berlangsung, talian utama yang beroperasi sepenuhnya masih belum diwujudkan.

“Kita pernah ada talian utama di peringkat kementerian luar. Saya difahamkan Pengawal Pantai juga sedang mempertimbangkan talian utama tertentu,” katanya.

Beliau berkata walaupun talian utama mungkin membantu, ia bukan satu-satunya penyelesaian kerana saluran lain seperti nota diplomatik, surat rasmi dan hubungan antara duta masih digunakan.

Sidang ini turut berlangsung seiring dengan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Kedua dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang julung kali diadakan, mencerminkan komitmen ASEAN yang semakin meningkat terhadap kerjasama antara rantau dalam untuk daya ekonomi, keselamatan tenaga dan perubahan iklim.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan