Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Warisan Etnik Kadayanallur Tenkasi Di Pulau Pinang Terus Dipelihara - Chow

25/05/2025 11:07 PM

GEORGE TOWN, 25 Mei (Bernama) -- Papan tanda memaparkan maklumat sejarah komuniti India Muslim daripada etnik Kadayanallur dan Tenkasi dipasang di tujuh lokasi di bandar raya ini bagi memelihara warisan sejarah etnik itu yang boleh dikesan sejak abad ke-19.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata inisiatif berkenaan menerusi kerjasama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) secara tidak langsung dapat membantu etnik Kadayanallur dan Tenkasi mengekalkan warisan budaya serta nilai-nilai estetik mereka.

Beliau berkata tujuh lokasi berkenaan ialah di Persatuan Hidayatul Islam, Persatuan Nurul Islam, Persatuan Muslim Kadayanallur, Anjuman Himayatul Islam, Masjid Prangin, Persatuan Muslim Bersatu dan Hutton Lane.

“Permulaan (kehidupan) begitu susah dan mereka berusaha sejak 200 hingga 300 tahun lepas di tanah air ini sehingga akhirnya berjaya dengan ramai yang menyumbang bukan sahaja kepada Pulau Pinang tetapi Malaysia hasil daripada usaha persatuan-persatuan komuniti.

"Oleh itu, saya nampak usaha untuk membawa etnik ini ke satu peringkat yang lebih tinggi harus kita sanjung," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Enklaf Etnik Kadayanallur dan Tenkasi bersama papan tanda warisan di sini malam ini.

Chow berkata MBPP juga diminta mempertimbangkan untuk menamakan sebatang jalan di George Town sebagai Jalan Kadayanallur Tenkasi bagi menghargai etnik itu di negeri ini kerana pihaknya telah bersetuju dengan cadangan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Central Muslim Society (CMS).

“Masjid Jalan Prangin juga antara yang mempunyai kaitan dengan etnik itu dan mereka merancang untuk menambah ruang dengan mendirikan bangunan dua tingkat di belakang masjid itu dengan menjenamakan semula sebagai Masjid Kadayanallur Tenkasi," katanya.

Sementara itu, Presiden CMS Mohamed Hasan berkata pertubuhan itu yang merupakan gabungan NGO yang dianggotai keturunan etnik Kadayanallur dan Tenkasi berharap papan tanda berkenaan dapat memastikan sejarah mereka tidak ditelan zaman dan diketahui masyarakat serta pelancong. 

Beliau berkata CMS sentiasa berdedikasi memartabatkan etnik Kadayanallur dan Tenkasi yang merupakan sebahagian daripada enklaf India Muslim di Pulau Pinang dan berharap warisan etnik itu terus diperkenalkan kepada orang ramai.

"Ia secara tidak langsung dapat memelihara dan mengekalkan bangunan dan kawasan warisan di dalam dan di luar Tapak Warisan UNESCO George Town sekali gus menyumbang kepada sektor pelancongan negeri ini," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan