Oleh Nurhafizah Tan
KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Keterbatasan komunikasi bukan penghalang bagi wanita Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran dan pertuturan ini untuk menghasilkan karya seni bertaraf antarabangsa yang menjadi antara cenderamata rasmi kepada ketua negara ASEAN, bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.
Menerusi temu bual dengan bantuan jurubahasa, Nur Amiratul Farahin Ab Rahman, 28, berkata dua rekaan bertemakan bunga-bungaan dari negara Asia Tenggara bertajuk 10 Petals of Unity dan The Bloom of Nation dihasilkan khusus bagi acara serantau itu, selari dengan tema Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia tahun ini, "Keterangkuman dan Kemampanan".
Beliau berkata lukisannya dilakar terlebih dahulu di atas kanvas sebagai master painting (lukisan asal) untuk dijadikan rujukan sebelum diterjemahkan semula ke permukaan pelbagai kraf keluli antaranya mangkuk tingkat, dulang dan cawan oleh pelukis tangan.
“Rekaan ini diilhamkan daripada pelbagai jenis bunga di negara-negara ASEAN seperti bunga raya, teratai dan bunga tropika liar.
“Bunga-bunga ini berbeza, tetapi apabila disatukan, ia menjadi satu keindahan, lambang kepelbagaian yang harmoni,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada pameran bersempena dengan acara yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini.
Berbesar hati dapat menyumbang karya seni untuk acara diplomatik itu, Nur Amiratul Farahin berharap karya berkenaan secara tidak langsung akan menjadi simbol bahawa setiap insan, tanpa mengira keupayaan, mempunyai peranan dan sumbangan yang bermakna dalam membentuk masa depan serantau yang inklusif dan mampan.
Anak kelahiran Johor Bahru itu merupakan pereka lukisan untuk produk mangkuk tingkat keluaran sebuah syarikat keusahawanan tempatan, Jeiwa Global Resources, yang turut memainkan peranan dalam mengembangkan bakatnya sejak lapan tahun lepas.
“Biasanya, mereka akan beritahu subjek dan tema yang mahu diketengahkan, selebihnya mereka serahkan sepenuhnya kepada kreativiti saya untuk mengolah dan menterjemahkannya ke dalam rekaan,” katanya yang mengambil masa setengah hari untuk menyiapkan sesuatu karya.
Lulusan Politeknik Ibrahim Sultan, Johor dalam kursus Reka Bentuk Fesyen dan Pakaian itu juga pernah memenangi pelbagai pertandingan lukisan peringkat antarabangsa Abilympics 2023 di Perancis dan menjadi naib juara dalam pertandingan yang menghimpunkan peserta OKU berbakat dari seluruh dunia itu.
Mangkuk tingkat dengan rekaannya kini bukan sahaja dipasarkan di dalam negara, malah pernah menembusi pasaran Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada, Qatar, Jepun, Perancis dan China.
Beliau juga bakal mengetengahkan karyanya yang menggunakan bunga raya, iaitu bunga kebangsaan Malaysia, di Osaka World Expo 2025 di Jepun yang dijadualkan berlangsung pada pertengahan Jun ini.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan mesyuarat berkaitan, yang diadakan di bawah Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 dijangka membincangkan isu-isu serantau yang mendesak termasuk berkaitan politik dan keselamatan.
Tahun ini menandakan kali kelima Malaysia mempengerusikan blok serantau ini, selepas 1977, 1997, 2005 dan 2015.
Bersempena dengan sidang kemuncak ini juga, dua persidangan peringkat tinggi utama – Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China pertama – akan berlangsung sebagai platform strategik untuk meningkatkan kerjasama serantau dan antara rantau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial