KANGAR, 29 Mei (Bernama) -- Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus memperluas dan memperkukuh jaringan kerjasamanya di Indonesia bagi menyokong agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi seiring dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
Naib Canselor UniMAP Profesor Datuk Dr Zaliman Sauli berkata usaha itu dilakukan menerusi kunjungan pihaknya ke enam institusi pendidikan tinggi di Bali, Medan, Jakarta dan Sumatera Utara bagi menjalinkan kerjasama strategik.
Beliau berkata institusi terbabit ialah Politeknik Negeri Bali (PNB), Universitas Udayana (UNUD), Universitas Trisakti (USAKTI), Universitas Deztron Indonesia (UDI), Universitas Al-Azhar Medan (UNAZ) dan Universitas Islam Sumatera Utara (UISU).
“Di PNB dan UDI, kita melaksanakan pertukaran Surat Hasrat (LoI) manakala di UNUD, UISU dan UNAZ pula diadakan Majlis Memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) malah di UNAZ turut diadakan pemeteraian Memorandum Persetujuan (MoA) bagi skim diskaun pelajar antara UniMAP dan UNAZ.
“Selepas itu, lawatan ke USAKTI pula ibarat kita menyantuni sahabat lama kerana MoU sudah ditandatangani sejak 2021,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Zaliman berkata beliau yakin lawatan empat hari ke Indonesia bermula 25 Mei itu akan membuka lembaran baharu untuk pertukaran akademik, memupuk inisiatif penyelidikan kolaboratif serta menyediakan peluang pendidikan yang lebih baik untuk pelajar di Malaysia dan Indonesia.
“Ini bukti dedikasi UniMAP dalam membina hubungan akademik antarabangsa yang kukuh dan menyumbang kepada kemajuan ilmu pengetahuan serta pembangunan bakat di rantau ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial