KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- ASEAN bersedia untuk mengadaptasi sepenuhnya kemajuan dalam bidang sains, teknologi dan inovasi, khususnya dalam kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran kuantum, ketika rantau ini berani melangkah ke arah masa depan di bawah Kepengerusian Malaysia.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan menggariskan penekanan itu dalam ucapan pembukaannya pada Mesyuarat Majlis Penyelarasan ASEAN (ACC) ke-36 yang diadakan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.
Beliau berkata kemajuan pesat dalam teknologi digital menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih pantas, kemajuan sosial dan peningkatan keselamatan di seluruh Asia Tenggara.
“Kemajuan teknologi ini akan membantu perjalanan kita, selagi kita melangkah bersama sebagai satu kesatuan.
“Yang paling penting, kita mesti memastikan tiada siapa yang tercicir ketika kita mempersiapkan rantau ini untuk menghadapi cabaran masa depan dengan daya tahan dan pandangan jauh,” kata beliau.
Mohamad menegaskan bahawa keupayaan rantau ini untuk kekal berhubung dan berdaya tahan amat penting dalam mengekalkan daya saing dan kerelevanannya.
Beliau berkata rekod pencapaian ASEAN membuktikan bahawa apabila negara anggota tekad untuk bersatu, pelbagai peluang besar dapat diwujudkan untuk rakyatnya.
“ASEAN mesti terus mara dengan tujuan dan perpaduan, agar dapat muncul lebih kukuh menghadapi dunia yang penuh bergelora dengan ketidaktentuan dan perpecahan.”
Terdahulu, beliau turut menyifatkan mesyuarat itu sebagai peluang tepat untuk menilai kemajuan ASEAN merentasi tiga tonggaknya — Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC), Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) dan Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC).
“Ini penting memandangkan kita menghampiri penghujung pelaksanaan ‘ASEAN 2025: Forging Ahead Together’ dan bersedia melangkah ke masa depan menerusi ‘ASEAN 2045: Masa Depan Bersama Kita’,” katanya.
Mohamad turut memaklumkan bahawa sebagai persediaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 esok, mesyuarat turut meneliti kemajuan Timor-Leste dalam melaksanakan pelan tindakan ke arah keanggotaan penuhnya dalam ASEAN, selain menyemak pelaksanaan keputusan dan komitmen yang dibuat oleh Pemimpin ASEAN pada sidang kemuncak terdahulu di Vientiane.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang berlangsung di bawah Kepengerusian Malaysia 2025 bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan” menandakan kali kelima Malaysia mempengerusikan blok serantau itu sejak tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial