Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pelaksanaan Pelan Tindakan Ekonomi ASEAN Catat Kemajuan Ketara Pada 97 Peratus - Tengku Zafrul

25/05/2025 03:48 PM

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Kadar pelaksanaan Pelan Tindakan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2025 berada di tahap yang membanggakan iaitu pada 97 peratus dengan 75 peratus langkah-langkah telahpun diselesaikan dan 22 peratus sedang dilaksanakan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata Pelan Tindakan AEC 2025 berfungsi sebagai pelan hala tuju strategik untuk membina ekonomi ASEAN yang sangat bersepadu dan utuh, menggalakkan pertumbuhan inklusif dan diterajui inovasi serta mengukuhkan ketersambungan dan daya saing serantau.

“Menerusi pelan tindakan itu, ASEAN mencapai kemajuan ketara dalam bidang seperti liberalisasi perdagangan, pemudahan pelaburan, pembangunan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), transformasi digital, dan inisiatif ekonomi yang mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) ke-25 di sini bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.

Majlis AEC adalah badan penyelaras utama ASEAN yang menyelia usaha pelbagai sektor di bawah Tonggak Komuniti Ekonomi ASEAN.

Tengku Zafurl berkata, kadar pelaksanaan 97 peratus yang mengagumkan itu bukan sahaja menunjukkan komitmen bersama ASEAN terhadap integrasi ekonomi tetapi juga mengukuhkan keupayaan rantau ini untuk bertindak balas terhadap ketidaktentuan global secara tenang dan berhemah.

Ad Banner

“Pembelajaran dan kemajuan utama di bawah Pelan Tindakan AEC 2025 akan berfungsi sebagai asas kukuh bagi pembangunan Pelan Strategik AEC 2026–2030, yang akan melakarkan fasa pertumbuhan dan transformasi ekonomi seterusnya rantau ini,” katanya.

Beliau berkata, dalam konteks ini, tahun 2025 menandakan satu lagi peristiwa penting bagi ASEAN, ketika perkumpulan itu bersedia untuk melancarkan pengganti Pelan Tindakan AEC 2025  iaitu Pelan Strategik AEC 2026–2030.

“Dokumen ini akan dilancarkan sebagai sebahagian daripada Wawasan Komuniti ASEAN 2045 yang menyeluruh pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46. Esok, kita akan menyaksikan pemeteraian Deklarasi Kuala Lumpur,” kata Tengku Zafrul.

Beliau berkata Majlis AEC mengesahkan sokongan dan komitmennya terhadap pelaksanaan berkesan Pelan Strategik AEC, yang akan membimbing agenda integrasi ekonomi ASEAN pasca 2025.

"Majlis AEC juga akan menantikan Sosialisasi Serantau Pelan Strategik AEC, yang akan diadakan pada 12 Jun,  2025 di Kuala Lumpur. Sesi ini akan berfungsi sebagai platform utama pelbagai pihak untuk menjalin hubungan dan berkongsi manfaat ekonomi Pelan Strategik AEC." katanya.

Majlis AEC juga membincang dan mengesahkan sokongan untuk memudahkan dan mempercepatkan akses Timor-Leste kepada Perjanjian Ekonomi ASEAN (AEA) seperti yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju yang dipersetujui oleh para Pemimpin pada 2023.

"Kami juga bertukar-tukar pandagangan tentang prospek ekonomi dan ketidaktentuan yang berterusan berikutan keadaan geoekonomi yang tidak menentu dan kemungkinan impaknya ke atas rantau ini," kata Tengku Zafrul.

Mengambil maklum hasil daripada AEM khas dan perundingan Rakan Dialog-AEM khas, serta mesyuarat Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN yang pertama pada 16 Mei 2025, beliau berkata Majlis itu melihat keperluan untuk mengambil tindakan secara kolektif bagi menangani dasar perdagangan global yang tidak menentu.

Mesyuarat itu dihadiri oleh Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong; Menteri Kewangan dan Ekonomi Brunei II Datuk Awang Mohd Amin Liew Abdullah; Menteri Perdagangan Kemboja Cham Nimul; Menteri Perindustrian dan Perdagangan Vietnam Nguyen Hong Dien; Menteri Perdagangan Indonesia Budi Santoso; dan Menteri Perindustrian dan Perdagangan Laos Malaithong Kommasith.

Turut hadir termasuk Timbalan Setiausaha Jabatan Perdagangan dan Industri Filipina Allan B. Gepty, Timbalan Perdana Menteri Singapura Gan Kim Yong, Menteri Perdagangan Thailand Pichai Naripthaphan  dan Timbalan Perdana Menteri Timor-Leste Francisco Kalbuadi Lay.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, yang diadakan di bawah tema Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025, “Keterangkuman dan Kelestarian” itu  juga menandakan kali kelima Malaysia mempengerusikan blok serantau tersebut selepas 1977, 1997, 2005 dan 2015.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan