Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Menteri Ekonomi ASEAN Bincang 11 Agenda Utama, Seru Kerjasama Lebih Mendalam - Tengku Zafrul

25/05/2025 11:47 AM

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AECC) ke-25 bersidang hari ini di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dengan 11 agenda utama dibincangkan, memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama antara negara anggota blok serantau itu.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam ucapan pembukaan berkata, persekitaran ekonomi semasa memerlukan kerjasama dan komitmen dalam memajukan kepentingan bersama sesama negara-negara ASEAN.

“Pada masa sama, kita juga perlu meneliti cara untuk meningkatkan perdagangan intra-ASEAN bagi mengurangkan kebergantungan terhadap rakan luar,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa respons ASEAN terhadap perubahan dasar ekonomi terkini oleh Amerika Syarikat (AS) setakat ini telah dilakukan menerusi penilaian secara bijaksana.

“Daripada memilih tindakan balas, kita memilih dialog dan kerjasama dengan komitmen jelas oleh Negara Anggota ASEAN (AMS) untuk tidak melaksanakan langkah timbal balik, menekankan bahawa komunikasi terbuka adalah kunci kepada hubungan yang seimbang dan mampan.

Ad Banner

“Pendirian berhati-hati ini telah berjaya mengelakkan peningkatan ketegangan dan mengekalkan asas keterlibatan bukan sahaja dengan AS tetapi juga dengan ekonomi utama lain,” katanya.

 Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Tengku Zafrul itu turut dihadiri Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong; Menteri Kewangan dan Ekonomi II Brunei Datuk Dr Awang Mohd Amin Liew Abdullah; Menteri Perdagangan Kemboja Cham Nimul; Menteri Industri dan Perdagangan Vietnam Nguyen Hong Dien; Menteri Perdagangan Indonesia Budi Santoso; serta Menteri Perindustrian dan Perdagangan Laos Malaithong Kommasith.

Turut hadir ialah Setiausaha Rendah Jabatan Perdagangan dan Industri Filipina Allan B. Gepty; Timbalan Perdana Menteri Singapura Gan Kim Yong; Menteri Perdagangan Thailand Pichai Naripthaphan dan Timbalan Perdana Menteri Timor-Leste Francisco Kalbuadi Lay.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang berlangsung di bawah Kepengerusian Malaysia 2025 yang bertema “Keterangkuman dan Kemampanan” turut menandakan kali kelima Malaysia mempengerusikan blok serantau itu sejak tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015.

Sidang kemuncak serta mesyuarat berkaitan dijangka membincangkan pelbagai isu serantau dan antarabangsa yang mendesak, termasuk krisis berterusan di Myanmar yang kekal menjadi kebimbangan utama ASEAN.

Selain mesyuarat peringkat ASEAN, sidang kemuncak turut menampilkan dua platform penting antara rantau - Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Kedua dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China - yang mencerminkan peningkatan keterlibatan ASEAN dengan rakan strategik di rantau Teluk dan China.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan