Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Filipina Akan Meneruskan Momentum Kepimpinan ASEAN Yang Diterajui Malaysia – Pegawai Kanan

24/05/2025 04:58 PM

KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Filipina menyatakan komitmennya untuk meneruskan momentum kepimpinan ASEAN yang sedang diterajui oleh Malaysia, apabila negara itu mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN pada 2026.

Setiausaha Rendah Hal Ehwal Hubungan Dua Hala dan ASEAN Ma. Theresa P. Lazaro berkata Manila melihat pengerusiannya yang akan datang sebagai satu pencapaian penting, selari dengan agenda diplomatik Presiden Ferdinand Marcos Jr.

“Terdapat banyak cabaran di hadapan, tetapi kami mengambil peranan penting ini dengan penuh tanggungjawab kerana kami akan mempengerusikan ASEAN.

“Perkara ini merupakan aspek utama dalam agenda Presiden Marcos Jr, iaitu kami ingin membina atas apa yang sedang dilakukan oleh Malaysia sepanjang kepengerusiannya. Kami juga mengucapkan tahniah kepada Malaysia atas segala usaha yang telah dilaksanakan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN (SOM) hari ini.

Dalam rombakan Kabinet terbaharu, Marcos menamakan Lazaro sebagai Setiausaha Luar yang baharu berkuat kuasa 31 Julai, namun pelantikan tersebut masih perlu melalui proses pengesahan di Kongres.

Lazaro bakal menggantikan penyandang jawatan, Enrique Manalo yang akan dilantik sebagai Wakil Tetap Filipina ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Ad Banner

Mesyuarat SOM yang bermula hari ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur merupakan fasa persiapan utama menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang dijadual berlangsung pada 26 dan 27 Mei.

Mesyuarat itu dihadiri oleh ketua-ketua delegasi SOM, wakil SOM Timor-Leste, dan pegawai dari Sekretariat ASEAN.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 akan menghimpunkan para pemimpin negara anggota untuk membincangkan isu-isu serantau, memupuk kerjasama ekonomi serta memajukan prinsip kemampanan dan kelestarian.

Kuala Lumpur turut menjadi tuan rumah bagi Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang kedua, serta Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang julung-julung kali diadakan serentak.

-- BERNAMA 


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan