KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Permohonan Timor-Leste untuk menyertai ASEAN menunjukkan perkembangan positif, menurut Setiausaha Rendah bagi Hal Ehwal Hubungan Dua Hala dan ASEAN, Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina, Ma. Theresa Lazaro, namun menegaskan keanggotaan penuh masih tertakluk kepada pertimbangan lanjut.
“Saya tidak boleh membuat spekulasi, tetapi berdasarkan perbincangan yang telah kami adakan, saya rasa (perkembangannya) positif,” katanya sambil menyatakan bahawa Malaysia selaku Pengerusi ASEAN ketika ini dilihat berhasrat mempercepatkan proses kemasukan Timor-Leste.
“Saya rasa hasrat ASEAN, khususnya Pengerusi Malaysia, ialah agar Timor-Leste menjadi anggota tidak lama lagi. Mungkin ini antara pencapaian yang ingin direalisasikan sepanjang tempoh pengerusiannya tahun ini,” katanya kepada media selepas Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN (SOM) di sini hari ini.
Bagaimanapun, Lazaro menjelaskan bahawa masih terdapat beberapa isu yang belum diselesaikan.
“Ini masih bersifat spekulatif. Masih ada beberapa isu dan perbincangan yang sedang berlangsung, namun saya fikir ia sedang bergerak ke arah yang sepatutnya,” katanya.
Timor-Leste, yang memohon untuk menyertai ASEAN sejak 2011, telah diberikan status pemerhati pada mesyuarat peringkat tinggi pada 2022, namun penilaian terhadap kemasukan sepenuhnya masih dijalankan.
Menurut laporan media sebelum ini, Singapura dilaporkan menyuarakan kebimbangan terhadap penyertaan Timor-Leste berikutan saiz ekonominya yang kecil, dan dikhuatiri boleh menjejaskan usaha merealisasikan Komuniti Ekonomi ASEAN.
Mengenai masa depan Sidang Kemuncak ASEAN - China - GCC yang akan berlangsung semasa Sidang Kemuncak ASEAN tahun ini di bawah Pengerusi Malaysia, Lazaro berkata perbincangan masih diteruskan sama ada tradisi itu akan dikekalkan.
“Perkara ini masih dibincangkan. Kita akan lihat bagaimana perjalanan sidang kemuncak nanti,” katanya.
Mesyuarat SOM merupakan fasa persediaan penting menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang dijadual berlangsung dari 26 hingga 27 Mei ini.
Sidang kemuncak itu akan menghimpunkan pemimpin negara anggota ASEAN untuk membincangkan isu serantau, memperkukuh kerjasama ekonomi dan mengangkat prinsip keterangkuman serta kemampanan.
Kuala Lumpur turut menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN-GCC kedua dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China buat julung kali secara serentak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial