Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Program Latihan Penempatan ASEAN Malaysia Perkukuh Persediaan Timor-Leste Sertai ASEAN

27/05/2025 10:58 PM

Oleh N. Kuvineshwaren

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Inisiatif Malaysia untuk menjadi tuan rumah kepada pegawai-pegawai Timor-Leste di bawah satu program latihan penempatan ASEAN mendapat pujian sebagai langkah strategik dan tepat pada masanya dalam menyokong usaha negara itu ke arah mendapatkan keanggotaan penuh ASEAN.

Pegawai Perhubungan Timor-Leste bagi Hal Ehwal ASEAN, Ivan Jerry Bengurion Ferreira Alves berkata program itu memberi pendedahan amat berharga terhadap proses operasi ASEAN serta memperkukuh kesiapsiagaan institusi dalam sektor utama di Timor-Leste.

“Ini adalah usaha yang terpuji dan mencerminkan komitmen Malaysia terhadap solidariti serantau dan pembangunan keupayaan. Pegawai kami dapat menyaksikan sendiri persediaan ASEAN secara langsung - satu perkara yang amat penting dalam kemajuan proses penyertaan kami,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan Mesyuarat Berkaitan di sini.

Diselaraskan oleh Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia (AMNS), program ini melibatkan pegawai daripada Pejabat Perdana Menteri Timor-Leste dan tiga kementerian utama, dengan tumpuan kepada dua bidang penting - logistik dan dokumentasi.

“Pengalaman langsung ini membina keyakinan dalam perkhidmatan awam kami dan membantu kami merangka prosedur operasi standard yang selaras dengan norma ASEAN,” kata Alves.

Ad Banner

Beliau berkata pegawai-pegawai turut memperoleh kemahiran dalam penyelarasan acara, penyediaan dokumentasi serta pengurusan delegasi peringkat tinggi - komponen penting untuk menjadi tuan rumah mesyuarat serantau pada masa depan.

Timor-Leste, yang mencapai kemerdekaan pada 2002, secara rasmi memohon untuk menyertai ASEAN pada 2011 dan diberikan status pemerhati pada 2022. Negara itu kini aktif menyertai mesyuarat ASEAN mengikut hala tuju secara berperingkat ke arah keanggotaan penuh.

Alves berkata kesan jangka panjang program latihan penempatan ini dapat dilihat melalui peningkatan kecekapan institusi, pemindahan pengetahuan dan tahap kesiapsiagaan negara.

“Ini bukan sekadar pembangunan individu, tetapi tentang memperkukuh sistem kami dan menunjukkan kesiapsiagaan Timor-Leste untuk menyumbang secara bermakna kepada komuniti ASEAN,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada peranannya selaku Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia telah melancarkan inisiatif berstruktur untuk menyokong integrasi Timor-Leste melalui program pembangunan kapasiti khas.

Di bawah inisiatif ini, pegawai terpilih Timor-Leste diserapkan dalam Sekretariat Logistik Utama ASEAN 2025 (SILA) dan AMNS, dengan modul latihan yang memberi tumpuan kepada pembelajaran rakan sebaya dalam bidang seperti dokumentasi, penyelarasan antara agensi, logistik mesyuarat, protokol, penglibatan media dan keselamatan.

“Malaysia konsisten dan lantang menyokong penyertaan Timor-Leste ke dalam ASEAN. Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia melihat penyertaan kami sebagai pencapaian utama dan komited untuk memudah cara proses ini secara berstruktur dan terangkum,” kata Alves.

Beliau berkata sokongan praktikal Malaysia telahpun meningkatkan keupayaan institusi Timor-Leste dan menyuarakan minat untuk meneruskan kerjasama selepas program ini, termasuk dalam pemudahcaraan perdagangan, pentadbiran awam dan tadbir urus digital.

Usaha penyertaan Timor-Leste turut mendapat momentum minggu ini apabila pemimpin dan menteri luar ASEAN dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 mengulangi sokongan mereka serta mengiktiraf kemajuan ketara negara itu dalam melaksanakan Hala Tuju ASEAN.

Sidang Kemuncak kali ini yang dianjurkan di bawah Kepengerusian Malaysia dalam ASEAN pada tahun ini yang bertema “Keterangkuman dan Kemampanan”. Tahun ini merupakan kali kelima Malaysia mempengerusikan ASEAN selepas memikul tanggungjawab ini pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.  

Sempena sidang kemuncak ini, dua platform penting antara rantau turut diadakan - Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Kedua dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China pertama - bagi memperkukuh hubungan strategik ASEAN dengan rakan  dari negara-negara Teluk dan China.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan