Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Perak Agih 436 Ekor Lembu Korban Sempena Aidiladha

24/05/2025 01:14 PM

IPOH, 24 Mei (Bernama) -- Sebanyak 436 ekor lembu diagihkan ke 59 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Perak sempena sambutan Aidiladha tidak lama lagi.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata sumbangan itu merupakan hasil usaha bersama dan komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri ini.

Beliau berkata antara GLC yang menyumbang ialah Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC), Perbadanan Menteri Besar  (MB Inc), Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), Lembaga Air Perak (LAP) serta Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI).

"Bagi memastikan agihan yang adil dan menyeluruh, setiap kawasan DUN akan menerima sekurang-kurangnya enam ekor lembu korban termasuk kawasan diwakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bukan beragama Islam.

"Agihan lembu korban ini turut melibatkan masjid dan surau, pasukan keselamatan, persatuan-persatuan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terpilih di seluruh negeri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Saarani berkata seperti pelaksanaan sebelum ini, lafaz akad korban bagi kawasan DUN yang diwakili ADUN beragama Islam akan disempurnakan oleh ADUN terbabit atau wakilnya. 

Ad Banner

"Bagi kawasan diwakili ADUN bukan beragama Islam pula, Pegawai Tadbir Agama Daerah akan melaksanakan proses akad mengikut garis panduan yang ditetapkan," katanya.

Menurut Saarani, bagi memastikan pelaksanaan ibadah korban selari dengan kehendak syarak, kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Mufti Negeri Perak akan mengedarkan garis panduan pelaksanaan khusus, terutamanya berkaitan aspek wakalah atau kontrak antara pihak terlibat.

Beliau berkata pelaksanaan ibadah korban juga akan dilaksanakan berpandukan peraturan dan garis panduan ditetapkan Jabatan Agama Islam Negeri Perak serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi menjamin kelancaran dan pematuhan dari segi syarak dan kesihatan awam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan