Oleh Nazira Hasanah Nasaruddin
LANGKAWI, 24 Mei (Bernama) -- Dalam usaha memperkukuh sektor logistik dan pertahanan negara, syarikat tempatan Aerotree Defence and Services Sdn Bhd tampil memperkenalkan DJI Flycart 30, dron kargo pertama seumpamanya di Malaysia di Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25).
Pengarah Projek Air Combat Maneuvering Instrumentation (ACMI) Mohd Aizat Mohd Aris berkata dron ini direka untuk membawa muatan hingga 30 kilogram sekali gus menawarkan penyelesaian penghantaran logistik yang efisien dan berdaya saing.
“Cetusan idea untuk menghasilkan dron pengangkut ini daripada Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Aerotree Datuk Halim Othman semasa negara berhadapan pandemik COVID-19, apabila ketika itu semua pihak menghadapi kesukaran logistik yang membataskan pergerakan.
“Berikutan itu, penyelidikan dan pembangunan dilakukan dengan kepakaran jurutera tempatan, termasuk bekas anggota tentera dan graduan sekolah penerbangan disokong dengan teknologi dari China untuk menghasilkan DJI Flycart 30 ini,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata dron pengangkut itu berupaya melakukan penghantaran logistik jarak sederhana sejauh 16 kilometer, dengan jangka hayat penerbangan sekitar 30 minit selain direka untuk bertahan dalam keadaan cuaca sederhana dengan penarafan IP55, iaitu kalis percikan air dan habuk.
Alat ini disasar untuk melakukan penghantaran barangan seperti ke pelabuhan, lokasi operasi ketenteraan dan kawasan yang sukar diakses sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada manusia.
“Dron ini disasarkan on military side. Kita juga pernah berbincang dengan tentera darat berkaitan keperluan menghantar bekalan kepada anggota di dalam hutan, lebih jimat daripada menggunakan perkhidmatan penghantaran oleh helikopter. Selain itu, sasaran pasaran kita ialah syarikat servis penghantaran,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata buat masa ini Aerotree masih menunggu kelulusan penuh daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) bagi pengoperasiannya kerana ia perlu mematuhi keperluan keselamatan, ketinggian, jarak operasi serta penggunaan frekuensi agar tidak mengganggu sistem penerbangan komersial.
“Kita sedang dalam peringkat perbincangan dengan CAAM bagaimana kita hendak mengoperasikan dron ini kerana ia akan berkongsi ruang udara dengan pesawat komersial.
“Jika berlaku insiden yang tidak diingini seperti jatuh atas rumah penduduk, siapa yang akan bertanggungjawab, khususnya kawasan berhampiran lapangan terbang,” katanya.
Menyentuh perancangan jangka panjang pula, beliau berkata sekiranya kelulusan pengoperasian dron pengangkut itu diperoleh, syarikat merancang untuk mencipta satu lagi dron yang mampu membawa muatan seberat 200 kg, menggunakan prosedur operasi standard (SOP) yang sama.
Sementara itu, Mohd Aizat berkata LIMA’25 turut membuka ruang kepada syarikat untuk memasarkan dron berkenaan ke pasaran antarabangsa dan setakat ini beberapa negara seperti Oman dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menunjukkan minat untuk mendapatkan aset berkenaan.
LIMA edisi ke-17 yang berlangsung sejak 20 Mei lepas dan perasmiannya disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu bakal melabuhkan tirai hari ini.
Acara itu menghimpunkan 860 pempamer dari dalam dan luar negara serta 140 delegasi rasmi dari 46 negara yang berkongsi kemajuan sektor maritim dan aeroangkasa dari negara masing-masing.
Pameran antarabangsa dwitahunan itu yang terbesar pernah diadakan sejak dianjurkan pada 1991.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial