Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

ASEAN Perlu Cipta Semula APSC Di Tengah-Tengah Ketegangan Geopolitik - Penganalisis

24/05/2025 11:11 AM

Oleh ROSMALIS ANUAR

KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Ketika ASEAN bersiap sedia untuk mengadakan mesyuarat peringkat tinggi minggu depan, penganalisis memberi peringatan bahawa Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC) perlu menjalani reformasi segera untuk kekal relevan dan berkesan dalam menghadapi ketegangan geopolitik yang semakin meningkat serta ancaman keselamatan yang kian canggih.

Profesor Madya di Pusat Pengajian Indo-Pasifik, Universiti Jawaharlal Nehru di New Delhi, India Dr Rahul Mishra dan Penganalisis Strategi Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa Universiti Malaya (UM) Collins Chong Yew Keat berkata walaupun ASEAN menunjukkan kemajuan dalam kerjasama keselamatan bukan tradisional, secara struktural ia masih lemah dalam menghadapi cabaran keselamatan tradisional.

“Sebagai contoh, tindak balas terhad ASEAN terhadap krisis pascarampasan kuasa di Myanmar menyerlahkan kelemahan dalam menguatkuasakan norma dan bertindak secara tegas terhadap konflik dalaman. Begitu juga, kemajuan dalam penyelesaian pertikaian Laut China Selatan masih diabaikan,” kata Rahul.

Beliau berkata dengan pelancaran Visi Komuniti ASEAN 2045 semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 pada 26 Mei ini, APSC 2.0 perlu lebih tangkas, inklusif dan berupaya menangani cabaran baharu.

“Reformasi perlu dibuat dengan menjangkakan cabaran dan peluang yang bakal dihadapi di rantau ini pada tempoh dua dekad akan datang,” kata penganalisis berkenaan yang juga Felo Penyelidik Kanan di Pusat Kecemerlangan Jerman-Asia Tenggara bagi Dasar Awam dan Tadbir Urus Baik, Universiti Thammasat, Thailand.

Ad Banner

Mengulas Mesyuarat Majlis APSC ke-29 yang dijadualkan pada Ahad ini, Rahul berkata pertikaian Laut China Selatan dan krisis kemanusiaan berterusan di Myanmar perlu menjadi agenda utama, di samping isu persaingan Amerika Syarikat (AS)–China, kesan perang tarif Presiden AS Donald Trump terhadap ekonomi di rantau ini, serta jenayah siber.

“APSC perlu memperkukuh perpaduan dalaman dan menyatakan pendirian bersama terhadap isu-isu penting. Pendekatan dasar baharu mengenai Indo-Pasifik, Myanmar, dan pertikaian Laut China Selatan amat diperlukan,” katanya.

Rahul berkata APSC harus mengambil alih peranan kepimpinan yang tegas dalam mempromosikan kerangka berasaskan peraturan di rantau ini, khususnya dalam aspek tatalaku maritim, tadbir urus siber, dan pengurusan krisis.

Beliau berkata sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia seharusnya berusaha ke arah pendekatan lebih berorientasikan tindakan terhadap Konsensus Lima Perkara mengenai Myanmar, mendesak kemajuan Kod Tatalaku (COC) di Laut China Selatan dan menggalakkan pendekatan pelbagai hala untuk penyelesaian pertikaian.

Sementara itu, Chong berkata APSC perlu cukup berani untuk keluar daripada kebuntuan masa lepas dan mencipta semula komuniti itu supaya sesuai dengan keperluan moden dan masa depan dalam menghadapi risiko dan ancaman yang semakin berubah.

Beliau berkata hal ini termasuk keberanian untuk meneroka kemungkinan serta mekanisme pakatan pertahanan baharu dan mewujudkan kapasiti pencegahan yang teguh, berwibawa dan pelbagai peringkat tanpa bergantung pada diplomasi serta nama baik dan mekanisme simbolik perjanjian mengenai pengawalan senjata dan komitmen daripada kuasa luar untuk tidak meningkatkan ketegangan.

“Model baharu perlu berdasarkan sokongan luar dan pencegahan dalam aspek keselamatan, serta tidak boleh terbatas kepada kapasiti pertahanan kendiri dalam rantau ini sahaja,” katanya.

Menerusi penilaian mendalam APSC sejak penubuhan secara rasmi pada 2015, Chong berkata rantau ini menyaksikan bahagian saksama daripada respons berbelah bahagi terhadap usaha dan tawaran kuasa AS dan China.

Tahap pengaruh dan kehadiran yang berbeza oleh Beijing dan Washington dalam kalangan negara anggota ASEAN mewujudkan tahap penggabungan, pergantungan, dan kekangan yang pelbagai dalam setiap tindak balas negara terhadap dua kuasa itu.

“Situasi ini mengehadkan keberkesanan APSC yang lebih banyak tertumpu kepada pengurusan ancaman bukan tradisional dan isu politik berisiko rendah berbanding ancaman tradisional dan konflik antara negara yang amat serius,” katanya.

Chong turut bersetuju dengan Rahul bahawa pertikaian Laut China Selatan akan kekal menjadi fokus utama mesyuarat APSC, di samping konflik terkini India-Pakistan, dengan ASEAN, di bawah kepimpinan Malaysia, akan berusaha memainkan peranan lebih mendalam dalam menangani kedua-dua isu berkenaan.

“Bagi Laut China Selatan, Malaysia dijangka meningkatkan pengaruh diplomatik untuk mendesak agar COC disegerakan, di samping memperkukuh peranan dan penglibatan penuh Malaysia dan ASEAN dalam usaha meredakan ketegangan di Asia Selatan, dan memastikan pematuhan jangka sederhana terhadap gencatan senjata yang dipersetujui,” katanya.

Berhubung krisis di Myanmar, Chong berkata Malaysia perlu menggunakan pendekatan baharu dalam berurusan dengan junta dan Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) sebagai lembaran baharu untuk mendesak tindakan yang lebih inovatif.

Beliau berkata dengan sokongan negara jiran, terutamanya Thailand, Malaysia dijangka menangani perpecahan dalaman ASEAN sebelum ini terhadap krisis Myanmar dan meneroka penyelesaian di luar kerangka Konsensus Lima Perkara.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan” bermula pada hari ini dengan mesyuarat pegawai kanan, disusuli perbincangan peringkat menteri pada 25 Mei dan sidang kemuncak ketua kerajaan pada 26 dan 27 Mei.

Tahun ini adalah kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN selepas 1977, 1997, 2005 dan 2015.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan