PUTRAJAYA, 23 Mei (Bernama) -- Pindaan terhadap Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) akan dibentang pada sesi Parlimen akhir tahun ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata sesi libat urus berkaitan pindaan itu telah pun dijalankan dengan pembabitan pelbagai pihak termasuk komuniti Orang Asli sendiri dan badan bukan kerajaan.
“Perjuangan Orang Asli ini bukan hanya akan dapat dipenuhi tetapi kita mesti juga memahami.
"Kita rasa generasi baharu dalam kalangan Orang Asli, terutama mereka yang telah belajar dan lulus dalam bidang pendidikan tinggi hingga ke peringkat doktor falsafah, mesti dikembalikan dan ditambah baik," katanya kepada pemberita selepas permukiman selepas setahun Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) di sini hari ini.
Terdahulu, Ahmad Zahid dalam ucapannya menekankan kepentingan menyamaratakan peluang ekonomi dalam kalangan Bumiputera di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak agar tidak berlaku jurang pembangunan yang ketara.
"Kita mesti menyamaratakan peluang-peluang ekonomi untuk Bumiputera ini sama ada di Semenanjung, apatah lagi Sabah dan Sarawak," katanya.
Beliau bekata perjuangan memperkasakan ekonomi Bumiputera tidak harus dilihat sebagai usaha meminggirkan kaum lain.
“Adalah asas penting yang kita tidak perlu apologetik, kita tidak perlu mengambil sikap bahawa kita rasa bersalah apabila kita memperjuangkan perkara ini kerana kita bukan menuntut hak tetapi kita melaksanakan hak yang termaktub di dalam Perlembagaan,” katanya.
Ahmad Zahid turut memuji pencapaian awal Sarawak dalam menggerakkan agenda pemerkasaan Bumiputera di wilayah itu.
Beliau berkata langkah yang dilaksana Sarawak untuk menyesuaikan dasar berkaitan Bumiputera wajar menjadi contoh kepada negeri lain.
“Penting untuk kita belajar daripada kejayaan awal ini dan memperkemas strategi agar tiada Bumiputera yang tercicir daripada arus pembangunan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial