ISKANDAR PUTERI, 23 Mei (Bernama) -- Insiden gangguan bekalan di beberapa lokasi di daerah ini akibat kerosakan pam utama sehingga menjejaskan lebih 155, 074 akaun pengguna harus dijadikan ruang untuk penambahbaikan di masa depan oleh syarikat operator.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata kebocoran di satu daripada sembilan pam yang menyedut air dari Sungai Johor menyebabkan kesemuanya rosak.
Beliau berkata susulan itu, pihaknya terpaksa menghentikan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Johor berkapasiti 318 MLD yang menyalurkan bekalan bukan sahaja kepada pengguna domestik tetapi juga hospital, sekolah dan kawasan industri termasuk pusat data.
"Insiden ini melibatkan 155,074 akaun pengguna yang di tujuh zon terjejas iaitu zon Bukit Indah (38,378), Iskandar Puteri (34,040), Tiram (30,002), Tebrau (24,420), Bandar (13,459), Kempas (9,257) dan Skudai (5,528).
"Saya telah arahkan pihak syarikat buat pascanilai, periksa semua sistem sedia ada ini," katanya semasa menggulung perbahasan pada persidangan Dewan Undangan Negeri Johor di Bangunan Sultan Ismail hari ini.
Mohamad Fazli turut memberi penjelasan mengapa proses pembaikan dan penyaluran semula air mengambil masa yang lama.
Beliau berkata hal ini kerana ia melibatkan beberapa proses seperti pengeringan, mencari punca kebocoran, memeriksa kerosakan setiap pam serta membawanya ke kilang untuk dimasukkan dalam oven bagi tujuan pengeringan yang rumit selain memakan masa.
"Insiden ini mengajar kita menguruskan bencana dan ia memerlukan dedikasi yang tinggi, data yang tepat, kerjasama semua pihak serta teknologi baharu dan terkini," katanya.
Semalam, satu mesyuarat khas krisis diadakan bagi membincangkan isu gangguan bekalan di beberapa lokasi di daerah ini susulan kerosakan pam utama yang menyalurkan air ke LRA Sungai Johor.
Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata mesyuarat itu akan membincangkan solusi segera bagi membaiki enam pam yang rosak dengan kadar segera.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial