Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Sesi Khas Ketengahkan Komitmen Malaysia Terhadap Situasi Myanmar Di Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46

24/05/2025 06:15 PM

 

Oleh Noor Bakhtiar Ahmad

KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Keputusan Malaysia menganjurkan dua mesyuarat khas ASEAN yang memberi tumpuan khusus kepada krisis berpanjangan di Myanmar, menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 minggu depan, mencerminkan kesungguhan dan komitmen teguh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menangani situasi itu, menurut penganalisis.

Pakar Geopolitik dan Kajian Asia daripada Universiti Tasmania Prof Dr James Chin berkata penganjuran mesyuarat khas itu membuktikan bahawa Anwar selaku Pengerusi ASEAN secara bergilir, meletakkan isu Myanmar sebagai agenda keutamaan beliau sepanjang tahun ini.

“Itu sebenarnya sesuatu yang baik. Seperti yang diketahui, ASEAN telah lama cuba menyelesaikan isu Myanmar. Mereka telah merangka Konsensus Lima Perkara, yang telah dipersetujui oleh junta namun enggan  melaksanakannya.

“Jika Anwar dapat menggerakkan perkara ini ke hadapan, dan sekurang-kurangnya berjaya mendapatkan gencatan senjata atau perjanjian damai antara junta dan pihak pembangkang, itu akan menjadi satu pencapaian besar, bukan sahaja untuk ASEAN tetapi juga untuk Anwar sendiri. Ia akan meningkatkan reputasi beliau di peringkat antarabangsa,” katanya kepada Bernama.

Ad Banner

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan Mesyuarat Berkaitan yang berlangsung selama seminggu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bermula Jumaat, telah memperuntukkan dua sesi khas bagi membincangkan kemelut di Myanmar.

Mesyuarat pertama iaitu perundingan tidak rasmi akan disertai oleh Pengerusi ASEAN sebelum ini, semasa dan akan datang – masing-masing Laos, Malaysia dan Filipina – manakala sesi perundingan tidak rasmi lanjutan akan melibatkan semua Menteri Luar ASEAN kecuali Myanmar.

Mesyuarat berkenaan dijadualkan berlangsung pada Sabtu dan akan dipengerusikan oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn memberitahu Reuters dalam satu wawancara baru-baru ini bahawa kedua-dua mesyuarat itu merupakan inisiatif baharu kerana ia memberi tumpuan sepenuhnya kepada situasi Myanmar tanpa membincangkan isu lain.

Menjawab satu soalan lain, Chin berpendapat bahawa prinsip tidak campur tangan yang menjadi pegangan ASEAN tidak seharusnya dijadikan alasan untuk tidak bertindak terhadap situasi yang meruncing di Myanmar.

“Dalam kes Myanmar, ia merupakan perang saudara dengan orang awam terbunuh setiap hari. Dalam situasi sebegini, ramai yang berhujah bahawa campur tangan adalah wajar demi menstabilkan negara itu dan memulihkan keadaan.

Prinsip tidak campur tangan hanya relevan apabila sesebuah negara itu berfungsi sepenuhnya – dan jelas Myanmar, mengikut kebanyakan definisi, kini adalah sebuah negara gagal,” katanya.

Konflik bersenjata yang berterusan di Myanmar telah meragut lebih 5,000 nyawa, dan situasi bertambah buruk selepas gempa bumi dahsyat pada 28 Mac lepas yang mengorbankan lebih 3,700 orang, menyebabkan junta mengisytiharkan gencatan senjata sementara sehingga 31 Mei.

Sementara itu, Pakar Geostrategi dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Prof Dr Azmi Hassan, percaya dua mesyuarat berkenaan bertujuan membuka saluran komunikasi antara pihak-pihak berkepentingan, yang sebahagiannya mungkin telah bermula.

“Penglibatan Perdana Menteri dalam peringkat serantau baru-baru ini mencerminkan peningkatan peranan kepimpinan Malaysia dalam menangani krisis Myanmar.

“Semasa lawatan ke Bangkok baru-baru ini, Anwar bertemu pemimpin junta, Jeneral Min Aung Hlaing, bagi tujuan mendapatkan gencatan senjata dan menyelaras bantuan kemanusiaan, khususnya di kawasan terjejas akibat gempa bumi,” katanya.

Azmi turut memuji tindakan berani Anwar sebagai Pengerusi ASEAN ketika ini.

Beliau berkata perhatian serius Malaysia terhadap krisis Myanmar tidak pernah luntur sejak ia tercetus pada Februari 2021.

“Jadi, secara tidak langsung, Malaysia telah berada di barisan hadapan dalam mendesak ASEAN agar memainkan peranan lebih aktif,” katanya.

Beliau turut berharap kedua-dua mesyuarat itu akan menghasilkan keputusan positif dengan tindakan yang lebih berkesan untuk memastikan Myanmar mematuhi Konsensus Lima Perkara yang dimeterai pada April 2021.

“Saya berharap ini akan menjadi langkah pertama untuk menggalakkan Myanmar kembali ke landasan demokrasi,” katanya.

Pemimpin ASEAN akan berhimpun di sini pada Isnin bagi menghadiri sidang kemuncak serantau itu yang bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan