Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

PMR 2025 Johor: Reruai JPJ Jadi Tumpuan, 3,000 Topi Keledar Menanti Pengunjung

23/05/2025 05:02 PM

JOHOR BAHRU, 23 Mei (Bernama) -- Seperti kelaziman, kaunter penukaran topi keledar baharu secara percuma sentiasa menjadi tarikan pada Program MADANI Rakyat (PMR) termasuk PMR 2025 Johor yang berlangsung tiga hari bermula hari ini di Toppen Shopping Centre di sini.

Tinjauan Bernama mendapati orang ramai mula beratur seawal 9 pagi di kaunter tukar topi keledar di reruai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang diadakan di luar pekarangan pusat beli-belah itu.

Bagi adik beradik, M. Laksminarayanan, 30, dan M. Tarmesvaran, 26, berkata ini kali pertama mereka mendapatkan topi keledar percuma dan sebelum ini hanya mendengarnya melalui media sosial.

“Saya dapat tahu program ini daripada TikTok semalam dan program itu biasanya jadi tumpuan ramai.

“Jadi awal pagi ini saya ajak adik keluar rumah dari Masai, meredah kesesakan semata-mata untuk ini (penukaran topi keledar),” kata Laksminarayanan.

Affendi Mohd Shah, 57, dari Taman Universiti, Skudai berkata dia menempuh perjalanan hampir sejam semata-mata melayan hasrat anak lelakinya Mohd Amir Danish, 18, yang mahu menukar topi keledar lama.

Ad Banner

Affendi berpuas hati dengan kepantasan petugas JPJ mengendalikan proses pertukaran topi keledar itu yang sangat cepat dan mudah.

“Petugas JPJ semuanya ramah dan mudah melakukan sebarang urusan. Selain itu, apabila saya sudah di sini, bolehlah juga saya buat semakan saman trafik polis dan urusan kerajaan yang lain,” katanya.

Pengarah Bahagian Korporat dan Perancangan Strategik JPJ Malaysia Nor Azhar Manap berkata sebanyak 3,000 topi keledar disediakan sepanjang tiga hari program untuk orang ramai mendapatkan topi keledar yang lebih berkualiti dan baharu.

“Untuk program hari pertama hari ini 1,000 topi keledar disediakan. Jika mereka berminat, syaratnya perlulah warganegara Malaysia, bawa MyKad dan hanya satu helmet bagi setiap pemohon serta perlu bawa helmet lama untuk ditukarkan,” katanya.

Selain itu, JPJ turut menyediakan bayaran saman kompaun khas kadar rata RM150 bagi kesalahan Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) yang direkodkan sejak Oktober 2018 hingga kini.

Orang ramai juga boleh menggunakan perkhidmatan JPJ Mobile untuk urusan pembaharuan lesen memandu kompeten (CDL), lesen memandu percubaan (PDL), lesen vokasional (PSV dan GDL), serta Lesen Kenderaan Motor (LKM).

PMR 2025 Johor yang bertemakan “Belia MADANI, Yakin Boleh!” menampilkan pelbagai aktiviti menarik seperti reruai pameran, sesi interaktif bersama agensi kerajaan, pameran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), karnival kerjaya serta jualan MADANI.

Program ini dijangka menarik lebih 25,000 pengunjung dan akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim petang ini. 

Johor merupakan lokasi kedua siri jelajah PMR 2025 selepas Sabah (9 hingga 11 Mei), sebelum diteruskan ke beberapa lokasi lain termasuk Lumut (Perak), Kuala Terengganu (Terengganu), Kota Lama (Kelantan), Nilai (Negeri Sembilan), Baling (Kedah), Jasin (Melaka) dan Bintulu (Sarawak).

PMR 2025 Johor juga dilangsungkan serentak dengan Sambutan Hari Belia Negara peringkat negeri, menjadikannya platform dwifungsi dalam menyatukan suara dan potensi belia dengan penyampaian perkhidmatan kerajaan secara langsung kepada rakyat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan