Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Budaya Peribumi Orang Asli, Tarikan Pameran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46

23/05/2025 07:00 PM

Oleh Aisha Hani Nor Azmir

KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di sini bukan sahaja menjadi platform membincangkan isu dan hala tuju serantau dalam menghadapi cabaran global malah juga membuka ruang kepada masyarakat Orang Asli negara ini mengetengahkan warisan budaya mereka.

Semua itu ditonjolkan menerusi reruai Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) yang antara lain mempamerkan kraf tangan hasil Orang Asli seperti tempok (lilitan kepala yang diperbuat daripada daun kelapa atau mengkuang) serta demonstrasi anyaman tradisional.

Reruai itu dibuka bagi Pameran Produk dan Reruai Jualan -- acara sampingan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.

Penolong Pengarah Seksyen Kebudayaan dan Warisan Bahagian Perancangan dan Penyelidikan JAKOA Zarina Razlan berkata antara tarikan di reruai itu adalah replika rumah daripada 10 suku kaum Orang Asli, selain pengunjung berpeluang bermain kercang (alat permainan tradisional Orang Asli) dan menyumpit.

“Ini adalah usaha kita mengetengahkan adat, budaya dan warisan Orang Asli. Kita berharap melalui pameran seumpama ini, ramai yang akan nampak peranan JAKOA dan keistimewaan Orang Asli di Semenanjung Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata penglibatan komuniti itu dalam acara tersebut memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat hasil kerja tangan asli dan bernilai tinggi daripada komuniti Orang Asli serta menyokong ekonomi mereka.

Zarina berkata kira-kira 40 wakil Orang Asli terlibat dalam acara itu termasuk dua pasukan tarian iaitu dari suku Mah Meri dan Bah Sali serta beberapa pendemonstrasi seni halus. 

Pengunjung juga berpeluang menyaksikan persembahan kebudayaan masyarakat Orang Asli yang dikelolakan JAKOA di pentas mini, dewan pameran itu.

Pameran Produk dan Reruai Jualan itu terbuka kepada orang awam bermula 23 hingga 25 Mei, manakala untuk delegasi ASEAN pada 26 dan 27 Mei, mengetengahkan 36 reruai dengan 25 pempamer.

Menerusi reruai JAKOA bertema “The Heritech Malaysia” iaitu mainan kata yang menggabungkan unsur warisan dan teknologi, pengunjung berpeluang menyaksikan pelbagai demonstrasi penghasilan kraf tangan tempatan secara langsung selain berinteraksi dengan paparan digital dan video.

Sebagai pengerusi dan tuan rumah ASEAN 2025, Malaysia akan menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di KLCC bermula 26 Mei.

Sempena sidang itu, dua mesyuarat peringkat tinggi turut dijadual berlangsung, iaitu Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) kedua dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China, yang akan menjadi platform penting untuk memperkukuh kerjasama serantau dan antara rantau.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan