Oleh Noorazlina Jindeh
KOTA KINABALU, 23 Mei (Bernama) -- Penglibatan pengamal media seluruh bersama negara ASEAN sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) pada tahun ini akan menjadi platform dalam memastikan media tempatan terus relevan serta mampu membentuk kerjasama serta co-exist dengan media lain.
Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA) Mariah Doksil berkata HAWANA akan memberi peluang kepada setiap agensi mahupun wartawan berkongsi dan mempelajari dunia kewartawanan yang semakin mencabar masa kini seterusnya menjadikan diri mereka terus relevan.
"Ini akan membantu kita dalam mendepani cabaran terbesar kita pada zaman digital kini terutama melibatkan berita palsu," katanya kepada Bernama di sini baru -baru ini.
Mariah turut berharap sambutan HAWANA pada tahun ini akan dapat bersama-sama mengupas pelbagai isu melibatkan dunia kewartawanan sekali gus memurnikannya supaya petugas menjalankan tugas dengan lebih baik.
Beliau berkata antara isu yang perlu dipertimbangkan, termasuk pembayaran gaji yang terjejas berikutan pengurangan pembelian iklan, begitu juga dengan kebebasan media dan etika kewartawanan yang perlu diperkasakan.
Editor Jesselton Times Newmond Tibin pula berpendapat Lembaga Pengasas Majlis Media Malaysia wajar direalisasikan sempena sambutan HAWANA tahun ini kerana sudah tiba masa ia beroperasi sebagai entiti sah selepas Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia 2024 diluluskan Dewan Rakyat Februari lepas.
Newmond berkata wartawan dan pengamal media telah lama menunggu pewujudan majlis media itu dan jika direalisasikan Jun nanti, pasti menjadi hadiah amat bermakna buat dunia kewartawan di Malaysia.
"HAWANA adalah pengiktirafan dan penghargaan tertinggi kepada pengamal media di negara ini kerana menjadi perantara yang amat penting dalam pembangunan dan perpaduan negara serta kesejahteraan rakyat," katanya.
Beliau turut mencadangkan supaya sambutan HAWANA edisi keenam diadakan di Sabah sempena sambutan Hari Malaysia pada September tahun depan, selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 yang mengiktiraf status setara antara wilayah Malaya, Sarawak dan Sabah ketika itu.
Bagi Wartawan New Sabah News Zacherlyn @ Noor Zafira Mohd Shafie berharap semua wartawan sentiasa berpegang pada etika dan tatatertib pekerjaan dalam semua keadaan.
Beliau berkata peranan wartawan mungkin dianggap kecil dan mudah oleh mereka yang tidak mendalami dan memahami profesion itu, namun selaku orang media adalah menjadi tanggungjawab untuk terus berperanan sebagai penyampai yang bertauliah dalam segala hal.
"Tentunya saya juga ingin melihat lebih ramai wartawan muda lahir dalam industri ini dan mencipta banyak kecemerlangan dalam pelaporan berita yang berkualiti dan berimpak, khasnya untuk pembangunan komuniti, alam dan menyebar luas nilai murni untuk kita bentuk persekitaran yang simbiosis antara semua," katanya.
Majlis Kemuncak Sambutan HAWANA 2025 akan diadakan pada 14 Jun ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dijangka dihadiri kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara.
HAWANA anjuran Kementerian Komunikasi dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai agensi pelaksana, bakal menampilkan pelbagai acara, termasuk Pesta Pantun pada 31 Mei ini dan majlis prapelancaran bersama rakan strategik di Wisma Bernama pada 3 Jun serta forum media anjuran bersama Institut Akhbar Malaysia (MPI) pada 14 Jun.
Turut diadakan karnival dan pameran HAWANA di pusat beli-belah Sunway Putra Mall yang berlangsung tiga hari bermula 13 Jun, selain sukan media yang menampilkan elemen tradisional serta siri jelajah ke politeknik premier di Selangor, Perak, dan Johor.
Selepas edisi pertama di Kuala Lumpur pada 2018, kemuncak sambutan HAWANA diteruskan di Melaka pada 2022, diikuti Perak (2023) dan di Sarawak tahun lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial