PUTRAJAYA, 27 Mei (Bernama) -- Golongan belia di negara ini dipelawa menyertai Young Creator Fellowship 2025, sebuah inisiatif bagi memupuk generasi baharu pencerita, pencipta kandungan digital dan wartawan-pempengaruh.
Program berkenaan dianjurkan Malaysiakini dengan kerjasama Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Suruhanjaya Tinggi Australia di Malaysia dan Kementerian Komunikasi sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) tahun ini.
Ketua Operasi Malaysiakini Tham Seen Hau berkata permohonan untuk menyertai program berkenaan mula dibuka 1 Mei hingga 1 Jun yang bertujuan memperkukuh literasi media, memupuk kemahiran penceritaan yang bertanggungjawab serta melahirkan generasi baharu wartawan dan pencipta kandungan berpengaruh.
“Dengan media sosial menjadi sumber berita utama Gen Z, maklumat palsu kini hanya di hujung jari - dan ini satu ancaman serius kepada masyarakat bermaklumat.
“Kami bukan sahaja melatih bakal wartawan tetapi memperkasakan generasi baharu pencipta kandungan untuk menyampaikan cerita yang memberi impak dan berkesan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Tham berkata 30 peserta akan dipilih untuk menyertai Young Creator Online Training yang akan berlangsung dalam dua sesi pada 15 dan 29 Jun.
Beliau berkata program intensif selama dua hari itu akan menampilkan bengkel interaktif meliputi literasi media, perlindungan data peribadi, kewartawanan data, penceritaan dan pemikiran kritis.
“Hanya 10 peserta terbaik akan dipilih untuk menyertai fellowship ini yang ditanggung sepenuhnya dari 16 hingga 18 Julai, termasuk penginapan, perjalanan dan perbelanjaan lain,” katanya.
Tham berkata program eksklusif ini memberi peluang kepada peserta untuk mendapatkan bimbingan langsung daripada wartawan berpengalaman, warga media yang profesional dan mentor.
“Peserta akan terlibat dalam latihan praktikal projek kewartawanan, menerima bimbingan peribadi mentor, menghasilkan cerita yang bermakna dan berpeluang memenangi hadiah berjumlah lebih RM17,000,” katanya sambil menambah maklumat lanjut dan borang permohonan boleh diperoleh di mk.my/goCEMVY.
Majlis Kemuncak Sambutan HAWANA 2025 akan berlangsung pada 14 Jun di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) yang akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dijangka dihadiri kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara.
HAWANA yang dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai agensi pelaksana, akan menampilkan pelbagai acara termasuk Pesta Pantun pada 31 Mei dan majlis prapelancaran bersama rakan strategik di Wisma Bernama pada 3 Jun serta Forum Media anjuran bersama Institut Akhbar Malaysia (MPI) pada 14 Jun.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial