Oleh R.Vikneswaran
KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Peningkatan perdagangan antara negara anggota ASEAN mampu menjamin kestabilan bekalan dan rantaian ekonomi serantau dalam menghadapi ketidaktentuan global yang meningkat, kata seorang ahli akademik.
Pensyarah Kanan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Dr Norazlan Hadi Yaacob berkata usaha memperkukuh perdagangan intra-ASEAN akan mewujudkan ekonomi yang lebih stabil dan berdaya tahan meskipun terdapat persaingan geopolitik dan konflik luar blok.
“Biarpun ASEAN berpotensi menjadi ekonomi keempat terbesar dunia menjelang 2030, perdagangan intra-ASEAN hanya mencatatkan 22.9 peratus, jauh lebih rendah berbanding perdagangan dalam Kesatuan Eropah (EU) yang melebihi 50 peratus,” katanya dalam program Siaran Khas Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 terbitan Bernama TV malam semalam.
ASEAN mempunyai hampir 700 juta penduduk, iaitu kira-kira sembilan peratus populasi dunia dan merupakan ekonomi kelima terbesar dunia dengan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bernilai US$4.1 trilion pada 2024.
Norazlan menjelaskan pergantungan kepada sumber luar telah menyebabkan gangguan bekalan dan kenaikan harga berikutan konflik seperti perang Ukraine-Rusia.
Oleh itu, katanya meningkatkan kerjasama perdagangan dalam kalangan negara ASEAN adalah penting untuk menjamin kestabilan bekalan.
“Sebagai contoh, Thailand membekalkan padi manakala Malaysia dan Indonesia menghasilkan kelapa sawit. Jika perdagangan ini diperkuatkan dalam ASEAN, kestabilan bekalan akan lebih terjamin,” katanya.
Beliau turut yakin Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada tahun ini mampu menjadi pemangkin kepada usaha menyatukan komuniti ASEAN dan memperkukuh kerjasama serantau.
Kini, ASEAN mencatatkan perdagangan dengan China dan Amerika Syarikat (AS), masing-masing sebanyak 14.8 peratus, EU (sembilan peratus), Jepun (6.8 peratus), Hong Kong (5.8 peratus) dan Korea Selatan (4.1 peratus).
Sebagai rantau yang bergantung pada perdagangan, ASEAN turut terkesan dengan isu tarif balas AS.
Dalam konteks geopolitik, Norazlan melihat Malaysia sebagai negara yang unik dan strategik.
“Kita ialah negara Komanwel, tidak mempunyai masalah dengan negara Barat atau AS. Sebagai anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), hubungan kita juga baik dengan negara Islam. Hubungan dengan China dan India juga baik disebabkan komposisi masyarakat yang pelbagai,” katanya.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 bermula hari ini dengan mesyuarat peringkat pegawai kanan, diikuti mesyuarat menteri pada 25 Mei dan kemuncaknya mesyuarat ketua-ketua kerajaan pada 26 Mei (Isnin).
Malaysia mengambil alih jawatan pengerusi ASEAN daripada Laos bermula 1 Jan 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, mencerminkan aspirasi untuk membentuk ASEAN yang bersatu dan makmur.
Ini merupakan kali kelima Malaysia menjadi pengerusi ASEAN selepas tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015.
ASEAN kini dianggotai 10 negara Asia Tenggara, iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam manakala Timor-Leste masih dalam proses untuk menyertai secara rasmi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial