Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Peniaga Tradisional Guna TikTok Shop Untuk Gabungkan Perniagaan Fizikal Dan Digital

16/05/2025 08:49 AM

KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Perniagaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta jenama tempatan dalam pasaran runcit Malaysia, kini tidak lagi mempersoalkan keperluan pendigitalan, sebaliknya aktif menggabungkan strategi dalam talian dan secara fizikal untuk memacu pertumbuhan yang mampan.

Daripada peniaga pasar malam dan gerai tepi jalan hingga ke kedai runcit tradisional serta penyewa pusat beli-belah, perbincangan telah berubah daripada memilih perniagaan secara e-dagang atau kedai fizikal, kepada mengoptimumkan pertumbuhan dengan menggabungkan kedua-duanya - iaitu clicks bersama bricks.

TikTok Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa perubahan itu didorong sokongan awam-swasta yang semakin meningkat terhadap transformasi digital, serta infrastruktur Internet negara yang menyeluruh, yang telah mengurangkan halangan kemasukan perniagaan pelbagai saiz untuk menyertai ekonomi digital.

“Banyak PMKS telah berjaya memanfaatkan kandungan dan perdagangan dalam talian melalui ekosistem penuh TikTok Shop, untuk menjana aliran pendapatan baharu, menarik lebih ramai pelanggan ke kedai fizikal dan meningkatkan keterlibatan pelanggan,” menurut kenyataan TikTok.

Antara kisah kejayaan dikongsikan TikTok ialah Al-Cataly, jenama patuh Syariah yang memfokuskan kepada pakaian mesra solat dan keperluan Haji & Umrah, yang diasaskan bersama Nik Nur Adzuan. Sejak ditubuhkan pada 2014, perniagaan itu menghadapi kesukaran untuk berkembang melebihi kedai fizikal tunggal mereka di Kota Damansara, Selangor.

“Menjalankan perniagaan sepenuhnya secara fizikal mengehadkan pertumbuhan kami, kerana bergantung kepada lokasi. Untuk berkembang, kami memerlukan modal yang besar bagi bayaran pendahuluan, pengubahsuaian, stok, kakitangan dan utiliti,” katanya.

Nik Nur menjelaskan bahawa permintaan memuncak ketika cuti sekolah dan musim ibadah, tetapi merosot pada masa lain.

“Untuk menjana pendapatan konsisten dan mengurangkan kos operasi, kami beralih ke platform TikTok Shop,” tambahnya, sambil memaklumkan bahawa TikTok Shop LIVE Hub x TEKUN Nasional di Kuala Lumpur, memberi mereka akses kepada latihan dan peralatan penstriman langsung berkualiti studio.

“Hanya dalam tempoh dua bulan, kami memperoleh hampir 10,000 pengikut dan peningkatan jualan sebanyak 12 kali ganda. Malah, pelanggan dari seluruh Malaysia dan Singapura datang ke kedai kami,” katanya lagi.

Sementara itu, Kamarul Zaman, pengasas perniagaan durian tempatan Pak Ali, berkongsi pengalaman serupa. Bermula dari gerai di tepi jalan pada 2017, perniagaan ini menghadapi cabaran jualan yang tidak menentu disebabkan cuaca dan turun naik pelanggan.

Untuk mengatasi cabaran semasa pandemik COVID-19, Pak Ali beralih ke TikTok Shop bagi membina asas pelanggan yang lebih stabil dan boleh dikembangkan dan menerusi penstriman langsung, mereka dapat mempamerkan kesegaran durian secara masa nyata, sekali gus membina kepercayaan pelanggan dan meningkatkan jualan dalam talian.

“Perniagaan dalam talian telah mengembangkan pasaran kami dan mengukuhkan kesetiaan pelanggan. Ramai pelanggan kedai fizikal kini mengikuti kami secara dalam talian dan membuat pesanan berulang,” ujarnya.

Hari ini, Pak Ali dikenali sebagai jenama durian yang terkenal dengan lebih 24,000 pengikut di TikTok Shop dan menjual purata 1,500 kilogram durian setiap hari. Populariti dalam talian ini turut membolehkan mereka berkembang ke perkhidmatan katering untuk acara tertentu.

Frisha Fazara Ishak, yang menguruskan Frisha Classic Desserts and Bakery bersama keluarganya, berkata pendigitalan telah mengubah landskap perniagaan keluarganya yang berusia 34 tahun.

Disebabkan kekangan kewangan, perniagaan mereka tidak pernah mempunyai kedai tetap dan hanya bergantung kepada bazar bermusim serta pemasaran daripada mulut ke mulut, namun penstriman langsung dan video penjualan telah membantu mereka berkembang daripada jualan bermusim kepada pendapatan bulanan lima angka secara konsisten.

“Dengan lebih 4,300 pengikut di TikTok Shop, kami telah membina asas pelanggan setia dalam talian dan fizikal.

“Ada pelanggan yang menjemput kami membuka gerai di program mereka. Kami amat bersyukur atas sokongan dan peluang yang diberikan oleh TikTok Shop,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan