BERITA TERGEMPAR | Kemalangan lori FRU : Angka kematian meningkat sembilan orang - Polis | |
KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Pelaksanaan e-Invois tidak akan membebankan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), sebaliknya memberi manfaat dalam pengurusan perniagaan serta pematuhan cukai, kata Pengarah Seksyen Bahagian e-Invois Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) Mohamad Rozainy Mohamad Arif.
Beliau berkata pelaksanaan e-Invois adalah untuk menggantikan invois manual, dengan mengandungi maklumat transaksi lengkap seperti barangan, kuantiti, harga, cukai serta Nombor Pengenalan Cukai (TIN) penjual dan pembeli.
“Ia membantu PMKS merancang kewangan, mempermudah pengurusan pinjaman dan pelaporan cukai, serta mengurangkan risiko kehilangan atau kerosakan dokumen manual,” katanya ketika menjadi tetamu pada program Klinik Cukai HASil di Bernama Radio, hari ini.
Mohamad Rozainy berkata pelaksanaan fasa ketiga e-Invois bermula 1 Julai, akan melibatkan pembayar cukai mempunyai pendapatan tahunan antara RM500,000 hingga RM25 juta, manakala semua pembayar cukai lain diwajibkan bermula 1 Jan 2026.
Beliau berkata sejak pelaksanaan e-invois secara berfasa bermula 1 Ogos tahun lepas, lebih 280 juta transaksi direkodkan melibatkan hampir 30,000 pembayar cukai.
Bagi membantu pembayar cukai mendapat maklumat tepat serta membuat persediaan, beliau berkata pelbagai inisiatif disediakan untuk menyokong pelaksanaan e-Invois, khususnya bagi PMKS termasuk taklimat percuma di seluruh negara, kaunter perkhidmatan di pejabat LHDN dan talian bantuan 24 jam di 03-86828000.
Selain itu, LHDN juga menyediakan Portal dan Aplikasi MyInvois secara percuma untuk semua pembayar cukai, manakala Sistem MyInvois Electronic Point of Sales (e-POS) ditawarkan secara percuma kepada PMKS yang belum memiliki sistem tempat jualan (POS).
“Kerajaan juga memberi kelonggaran enam bulan kepada pembayar cukai untuk melaksanakan e-Invois dengan lebih fleksibel. Kelonggaran ini membolehkan penjual mengeluarkan e-Invois disatukan tanpa perlu mengeluarkan e-Invois untuk setiap transaksi,” katanya.
Sementara itu, bagi peniaga dalam talian terutama di platform e-Dagang tempatan, Mohamad Rozainy berkata pelaksanaan e-Invois menjadi tanggungjawab penyedia platform sahaja, manakala PMKS hanya perlu memastikan maklumat perniagaan mereka sentiasa dikemas kini.
Beliau berkata kerajaan juga mengumumkan pengecualian pelaksanaan e-Invois kepada pembayar cukai dengan pendapatan tahunan bawah RM150,000 bagi membantu perniagaan mikro.
“Pengecualian ini tidak terpakai kepada syarikat berpendapatan lebih tinggi,” katanya.
Beliau juga meminta semua pembayar cukai untuk membuat persediaan awal, dengan merujuk maklumat di portal rasmi LHDN, mengemas kini maklumat perniagaan serta memanfaatkan aplikasi dan sistem yang disediakan percuma.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial