AM > BERITA

AZAM BAKI JUNJUNG KASIH KEPADA AGONG ATAS PELANTIKAN SEMULA SEBAGAI KP SPRM

10/05/2024 06:53 PM

PUTRAJAYA, 10 Mei (Bernama) -- Tan Sri Azam Baki menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas perkenan pelantikan semula sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkuat kuasa Ahad ini. 

Menerusi kenyataan hari ini, Azam berkata beliau akan terus memastikan amanah itu dilaksanakan sepenuhnya dan menjalankan tanggungjawab tersebut dengan penuh integriti.

“SPRM juga berharap agar seluruh rakyat Malaysia serta jentera kerajaan, tanpa kompromi dapat berganding bahu bersama SPRM bagi memerangi jenayah rasuah di negara ini,” katanya.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali hari ini mengumumkan pelantikan semula Azam sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM bagi tempoh setahun berkuat kuasa Ahad ini.

Mohd Zuki berkata pelantikan itu dibuat selaras subseksyen dengan 5(1) dan (2) Akta SPRM 2009 [Akta 694].

Azam dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 9 Mac 2020 menggantikan Latheefa Beebi Koya yang mengambil keputusan memendekkan kontrak perkhidmatannya selaras dengan Subseksyen 5(3) Akta SPRM 2009.

Sebelum ini, tempoh perkhidmatan Azam sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM dilanjutkan selama setahun pada 2023 dan akan tamat pada 12 Mei depan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan