JOHOR BAHRU, 9 April (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan mengurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Pertama Dato’ Sri Mulia Sultan Ibrahim Johor (SMIJ) kepada Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor.
Menurut hantaran di laman Facebook rasmi Seri Paduka Baginda, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim pula dikurniakan dengan Pingat Jasa dan Lama Dalam Pekerjaan (PJP) sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Baginda. ,
Pengurniaan darjah dan pingat itu disempurnakan oleh Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail pada Majlis Doa Kesyukuran, Majlis Terimaan, Majlis Menghadap Takzim dan Majlis Darjah dan Pingat di Istana Besar, di sini.
Sementara itu, Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Yang Kedua, Dato’ Mulia Sultan brahim Johor (DMIJ) yang membawa gelaran datuk, diberikan kepada Penasihat Undang-Undang Negeri Johor Datuk Abd Aziz Engan, Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman CP Datuk Ibrahim Darus, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman CP Datuk M Kumar dan Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad.
Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Ketiga Setia Mulia Sultan Ibrahim Johor (SIJ) kepada Naib Pegawai Memerintah Askar Timbalan Setia Negeri Johor (ATSNJ) Mejar Ahmad Hamdan Libar dan Juruiring ATSNJ Pemangku Sultan Johor, Mejar Asrulfaizad Selamat.
Seramai 100 penerima dikurniakan Pingat Lama dan Baik Dalam Perkhidmatan (PLP), 77 penerima PJP, 157 penerima Pingat Sultan Ibrahim Pangkat Kedua dan 39 bagi Pingat Sultan Ibrahim Pangkat Ketiga.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial