AM > BERITA

NIKMATI PELEPASAN CUKAI TAHUN 2024 DENGAN TERUS MENABUNG DI SIMPAN SSPN

10/05/2024 05:22 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Pendeposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) berpeluang menikmati insentif pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 bagi taksiran tahun ini sekiranya terus menabung di dalam skim simpanan itu.

Pengerusi PTPTN Datuk Norliza Abdul Rahim dalam kenyataan hari ini berkata ibu bapa sebagai pendeposit Simpan SSPN layak mendapat pelepasan sehingga RM8,000 setahun bagi setiap seorang anak  sekiranya membuat taksiran cukai secara berasingan.

“Manakala ibu bapa sebagai pendeposit yang membuat taksiran cukai bersama layak mendapatkan pelepasan taksiran cukai sehingga RM8,000 setahun untuk satu pasangan.

“Simpan SSPN merupakan insentif  istimewa kepada pendeposit kerana ia satu-satunya produk simpanan yang memberikan kelebihan berbeza berbanding simpanan lain,” katanya.

Katanya sehingga 31 Mac lepas tabungan Simpan SSPN mencatat deposit berjumlah  RM17.75 bilion daripada 6.32 juta akaun, sekali gus menjadi pilihan utama masyarakat untuk membuat penabungan bagi  pendidikan tinggi.

Sementara itu, Norliza berkata bagi menggalakkan penabungan,  PTPTN akan mengadakan Cabutan Siri WOW! Kasih Simpan SSPN  bagi menghargai insan bermakna dalam kehidupan, bersempena sambutan Hari Ibu, Hari Bapa dan Hari Guru yang bakal diraikan.

Kempen yang bermula 1 Mei hingga 30 Jun depan itu terbuka kepada semua pendeposit Simpan SSPN iaitu Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus.

“Melalui kempen ini, PTPTN menawarkan hadiah lumayan iaitu wang tunai keseluruhan berjumlah RM100,000 untuk 181 pemenang, dengan hadiah utama berjumlah RM10,000 untuk seorang pemenang dan hadiah saguhati RM500 untuk setiap 180 pemenang.

Orang ramai boleh melayari portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my untuk maklumat lanjut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan