AM > BERITA

PTPTN ALU-ALUKAN SEMUA PIHAK TEROKA PELBAGAI BENTUK KERJASAMA BERSEPADU

08/05/2024 08:57 PM

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini menerima sumbangan berjumlah RM115,000 daripada enam syarikat korporat untuk dana myWaqafPTPTN, bagi membantu mahasiswa menerusi pemberian biasiswa yang akan mengurangkan bebanan bayaran balik pinjaman. 

Pengerusinya Datuk Norliza Abdul Rahim berkata myWaqafPTPTN yang dilancarkan pada 11 Mac lepas, dilaksanakan dengan Kerjasama Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) bagi mempelbagaikan sumber dana pembiayaan PTPTN selain melalui pinjaman sedia ada.

"Alhamdulillah, myWaqafPTPTN telah mendapat sambutan yang menggalakkan. PTPTN menyeru sokongan semua pihak berkepentingan, rakan-rakan strategik dan pelanggan untuk turut sama menyemarakkan amalan berwakaf melalui myWaqafPTPTN. 

"Paling menarik ialah setiap sumbangan kepada myWaqafPTPTN layak mendapat potongan cukai 10 peratus daripada pendapatan agregat di bawah Subseksyen 44 (11C) Akta Cukai Pendapatan 1967," katanya ketika berucap pada Majlis Mesra Bersama Pelanggan PTPTN 2024 di sini hari ini.

Enam syarikat yang terawal menyumbang kepada myWaqafPTPTN ialah UOB Islamic Asset Management Sdn Bhd, Saturna Sdn Bhd, UDA Holdings Berhad, Principal Islamic Asset Management Sdn Bhd, Ninja Logistics Sdn Bhd dan Bank Muamalat Malaysia Berhad.   

Pada majlis itu, PTPTN juga menyampaikan sijil penghargaan kepada 10 rakan strategik yang menyumbang kepada galakan penabungan dan bayaran balik bagi 2023 dan 2024, antaranya Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Kerajaan Negeri Sarawak, Kerajaan Negeri Sabah, polis dan tentera.

PTPTN turut meraikan pemenang Kempen Cabutan Siri WOW! Gong Xi Ang Pow yang merupakan siri pertama Cabutan WOW! Simpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) 2024, yang menawarkan hadiah lumayan wang tunai berjumlah RM100,000. 

Cabutan Siri WOW! Gong Xi Ang Pow yang berlangsung antara 1 Jan hingga 29 Feb lepas, menyaksikan pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) Ng Wei Chien membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000 selepas membuka akaun Simpan SSPN Prime pada tahun lepas.

"Memang terkejut kerana niat menyimpan dalam Simpan SSPN Prime adalah untuk pengajian anak yang lahir tahun lepas. Sudah pasti wang ini akan disimpan semula dalam Simpan SSPN kerana dividen yang diberikan juga kompetitif," katanya.

Selain itu, PTPTN juga menghulurkan sumbangan kepada 10 pelajar istimewa iaitu masing-masing lima dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) berjumlah RM5,000 dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime. 

Seorang penerima Syaza Athirah Sailan @ Sazali, 25 yang merupakan orang kurang upaya (OKU) pendengaran berterima kasih atas sumbangan itu, yang akan dgunakan untuk menampung kos pengajiannya dalam jurusan Sarjana Pengajian Akidah dan Agama Dengan Kepujian di USIM. 

"Alhamdulillah saya bersyukur dengan sumbangan ini. Semoga PTPTN terus komited untuk membantu lebih ramai pelajar yang mahu melanjutkan pelajaran ke menara gading, insya-Allah," katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan