AM > BERITA

PEMBIAYAAN WAJAR DAN PROSEDUR MUDAH, SPUMI BANTU PERKASA USAHAWAN INDIA

10/05/2024 03:36 PM

Oleh Muhamad Amir Aiman Azlan

HULU SELANGOR, 10 Mei (Bernama) -- Kejayaan ditempa beberapa penerima manfaat Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional serta Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), jelas membuktikan iltizam Kerajaan Perpaduan dalam memperkasakan masyarakat itu.

Skim pembiayaan itu yang membuka jalan untuk masyarakat India muncul sebagai usahawan bagi meningkatkan pendapatan, jelas bukan satu perkara retorik sebaliknya usaha yang berjaya membantu mereka.

Ia diakui tukang jahit M. Premalata, 50, yang diuji kehilangan suami akibat pandemik COVID-19, menyebabkan dia mengambil keputusan untuk memohon pembiayaan di bawah SPUMI bagi menyara kehidupan.

“Pada 2020 saya baru berjinak-jinak menceburi bidang jahitan dan ketika itu memang agak sukar untuk bertahan dalam perniagaan ini ditambah pula dengan situasi COVID-19. Kemudian saya dapat tahu mengenai SPUMI dan cuba mohon, tak sangka permohonan saya lulus. 

“Dari situ saya kembangkan perniagaan dengan membeli mesin yang diperlukan untuk saya menawarkan perkhidmatan dan produk yang berkualiti kepada pelanggan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Ibu kepada seorang anak itu yang memuji inisiatif dilaksanakan kerajaan, berkata beliau tidak berdepan kesukaran untuk memohon bantuan pembiayaan kerana proses yang perlu dilalui sangat mudah.

Beliau berkata hasil suntikan modal diperoleh daripada pembiayaan SPUMI berjumlah RM8,000, telah membantu memberikan keluarganya pendapatan bulanan yang stabil.

“Saya menggalakkan komuniti India supaya tampil mengambil manfaat di bawah inisiatif kerajaan ini,” katanya.

J. Kalaichelvan, 34, yang terlibat dalam bidang pembinaan pula berkata SPUMI amat membantu dalam pemerkasaan sosio ekonomi komuniti India dengan tawaran kadar faedah yang agak rendah dan prosedur yang mudah berbanding institusi kewangan konvensional. 

"Saya tahu mengenai pembiayaan ini kerana saya peka dengan perkembangan semasa dan ia inisiatif yang baik, malah saya hampir menyelesaikan bayaran bagi pembiayaan saya," katanya. 

Sehingga Mac lepas, SPUMI telah memanfaatkan seramai 28,808 usahawan India menerusi pembiayaan bernilai RM450.5 juta.

Pada 3 April lepas, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R. Ramanan  mengumumkan peruntukan tambahan RM30 juta kepada pembiayaan itu yang dikenali sebagai Skim Pembiayaan Pemerkasaan SPUMI (SPUMI Goes Big). 

Pembiayaan itu terbuka kepada semua usahawan berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan akan memberi keutamaan kepada pembiayaan lebih besar daripada RM50,000 hingga RM100,000 selain kemudahan lain menerusi agensi di bawah kementeriannya. 

Sementara itu, pemilik kedai runcit N. Thenmoly, 33, berkata beliau tidak memohon SPUMI sebaliknya menggunakan kemudahan pembiayaan lain yang disediakan kerajaan di bawah AIM untuk membesarkan perniagaan.

Menurutnya agensi di bawah Kementerian Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi itu banyak membantu perniagaannya dan melalui pembiayaan tersebut kini dia mampu memperoleh pendapatan RM2,000 sebulan.

“Saya telah memohon pinjaman sebanyak dua kali di bawah AIM iaitu pada 2019 sebanyak RM5,000 dan setelah habis bayar hutang, tahun ini saya pinjam lagi sebanyak RM7,000. Sebelum memohon saya telah menjalankan perniagaan kedai runcit tetapi tidak cukup modal untuk menambah barang.

“Saya dapat tahu mengenai inisiatif oleh kerajaan ini daripada seorang rakan dan proses permohonannya juga sangat mudah hanya memerlukan dokumen asas seperti lesen perniagaan, kad pengenalan dan gambar kedai serta penjamin. 

“Pembiayaan ini sangat membantu dan ramai masyarakat India tidak tahu mengenainya. Jadi, selepas ini lebih ramai perlu memanfaatkan kemudahan yang disediakan kerajaan ini,” katanya yang proses kelulusan permohonannya hanya mengambil masa seminggu.

 AIM menyediakan Skim Pembiayaan Ikhtiar kepada usahawan mikro dan informal dengan nilai pembiayaan antara RM3,000 hingga RM30,000.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan