AM > BERITA

N.SEMBILAN BERI TUMPUAN TINGKATKAN HASIL BUKAN CUKAI BAGI PERKUKUH PENDAPATAN NEGERI

08/05/2024 03:45 PM

SEREMBAN, 8 Mei (Bernama) -- Kerajaan negeri akan memberi tumpuan kepada meningkatkan komponen hasil bukan cukai bagi mengimbangi kutipan daripada hasil cukai sekali gus mengukuhkan lagi pendapatan negeri, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata analisis kajian mendapati keupayaan hasil bukan cukai dalam menjana nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah lebih tinggi berbanding hasil cukai dan terimaan bukan hasil.

Selain itu, katanya hasil bukan cukai bersifat dinamik dan berkorelasi dengan prestasi ekonomi negeri berbanding hasil cukai yang lebih bersifat statik. 

“Justeru, berdasarkan analisis dan kedudukan semasa ekonomi Negeri Sembilan, terdapat beberapa bidang berpotensi meningkatkan kutipan hasil antaranya pengenalan caj perkhidmatan yang menjurus ke arah kelestarian ekonomi dan transformasi komoditi air,” katanya pada sesi pertanyaan lisan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Mohamad Hasan (BN-Rantau) yang dibacakan oleh Datuk Zaifulbahri Idris (BN-Chembong) mengenai langkah dan bidang tumpuan untuk meningkatkan hasil baharu kerajaan negeri.

Aminuddin berkata bayaran perkhidmatan ekosistem akan dikaji semula bagi menampung kos penyelenggaraan kemudahan awam serta menambah baik program pemeliharaan dan pemuliharaan hutan dan biodiversiti. 

“Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan telah mengkaji semula Kaedah-Kaedah Hutan dan telah mendapat kelulusan untuk mengenakan caj bayaran berkaitan ekopelancongan iaitu caj fi konservasi bagi Taman Eko Rimba terpilih sebanyak RM 3.00 untuk warganegara dan RM 6.00 untuk bukan warganegara serta dikecualikan bayaran untuk kanak-kanak dan warga emas. 

“Caj fi konservasi ini sedang dalam tindakan Pejabat Penasihat Undang-Undang untuk diwartakan sebelum ia dapat dilaksanakan kutipan,” katanya.

Aminuddin berkata kerajaan negeri juga telah meluluskan kenaikan caj air laut daripada RM 0.01 per meter padu kepada RM 0.03 per meter padu sekali gus dapat meningkatkan hasil lebih RM46 juta setahun selain Caj Struktur atas badan Perairan yang berkuat kuasa 1 Jan lepas.

Pada tahun ini, katanya Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Sembilan (PTGNS) dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) telah dibajetkan kutipan hasil tanah sebanyak RM315.55 juta merangkumi RM151.71 juta di bawah hasil cukai dan RM163.84 juta di bawah hasil bukan cukai.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan