KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menzahirkan rasa dukacita atas pemergian tokoh pemikir peradaban Islam Prof Diraja Tan Sri Syed Muhammad Naquib al-Attas yang disifatkan beliau sebagai antara pemikir teragung pada zaman ini.
“Beliau seorang ahli falsafah yang bukan sahaja mempersoalkan apa yang kita ketahui, tetapi juga tujuan sebenar ilmu itu.
“Menerusi karyanya yang banyak dan berpengaruh termasuk Islam and Secularism serta karya agungnya Prolegomena to the Metaphysics of Islam, beliau mencabar proses sekularisasi ilmu serta menggariskan asas intelektual kepada pandangan Islam. Malaysia mendengarnya. Dunia Islam juga mendengarnya,” kata beliau.
Perdana Menteri, bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Muhammad Naqib serta kepada semua yang pernah menimba ilmu daripada tokoh berkenaan.
"Beliau meninggalkan kita pada malam ke-18 Ramadan, pada usia 95 tahun. Itulah sebuah kehidupan yang penuh makna dan pemergian yang mulia. Semoga Allah merahmatinya dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang soleh. Al-Fatihah,” kata beliau.
Syed Muhammad Naquib, pengasas dan pengarah Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC) meninggal dunia pada 6.47 petang semalam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial