AM > BERITA

'SPORT MASSAGE' BUKA PELUANG KEPADA OKU PENGLIHATAN

06/05/2024 08:20 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Juru urut dalam kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan perlu merebut peluang meningkatkan kemahiran dalam bidang sport massage atau urutan sukan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) Datuk George Thomas. 

Beliau berkata bidang itu mempunyai prospek tinggi mengambil kira penganjuran aktiviti sukan giat dilaksanakan sekali gus menawarkan peluang pekerjaan kepada golongan berkenaan.

“Juru urut atau terapis itu sendiri mempunyai prospek pekerjaan yang tinggi sama ada di peringkat tempatan atau antarabangsa. Pendedahan dan latihan berstruktur daripada pakar terlibat melalui modul yang diguna pakai dapat membantu peserta mengaplikasikan teknik urutan dengan segera dan berkesan,” katanya. 

George berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pelancaran Kursus dan Buku Braille Physical Health Therapy oleh Ketua Cawangan Jemaah Doktor dan Pandangan Perubatan, Bahagian Pencegahan, Perubatan dan Pemulihan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Dr Edrin Nazri Abdul Rasib mewakili Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed di sini hari ini.

Penerbitan buku dengan kerjasama Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Fakulti Perubatan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Barakah Medical Wellness Centre akan menjadi rujukan dan kegunaan bagi mereka yang mengikuti kursus lanjutan Physical Health Therapy

George berkata 82 peserta dari MAB berjaya menamatkan Kursus Urutan Sukan Tahap Satu, dengan 16 daripadanya meneruskan latihan lanjutan bagi kursus Physical Health Therapy.

Beliau berkata untuk tahun ini, tiga siri Kursus Sukan Tahap Satu dan Dua bagi kursus profesional  Physical Health Therapy telah dirancang dengan sasaran sekurang-kurangnya 50 juru urut OKU penglihatan mendapatkan sijil.

Dalam perkembangan lain, George memaklumkan terdapat 59,280 OKU penglihatan berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat 29 Feb lepas, dengan sekitar 2,600 kanak-kanak OKU penglihatan di sekolah aliran perdana dan 190 golongan itu telah mendaftar untuk pengajian tinggi sama ada di kolej komuniti, institusi dan universiti di Malaysia. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan