AM > BERITA

LAYANAN MESRA TH, PENAT HARUNGI PERJALANAN DARI KEDAH KE MADINAH HILANG SEKELIP MATA

09/05/2024 07:06 PM

Daripada Noor Shamsiah Mohamed @ Ismail

MADINAH, 9 Mei (Bernama) -- Penat seorang warga emas mengharungi perjalanan dari Alor Setar, Kedah ke Kuala Lumpur, diikuti penerbangan lebih lapan jam ke Madinah, hilang sebaik tiba di Hotel Emaar Royal, di sini apabila menerima layanan istimewa daripada Lembaga Tabung Haji. 

Bagi Abdul Ghani Ismail, 70an, keramahan petugas Lembaga Tabung Haji (TH) menyantuni jemaah haji sejak mula berlepas dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) tengah malam semalam menyebabkannya rasa seronok hingga lupa seketika rasa penat ekoran perjalanan yang jauh. 

"Saya yang tak larat pun rasa seronok teramat sangat hingga tak tahu nak cakap. Yang paling seronok semalam apabila Menteri Agama (Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar) datang meraikan kami dan menghantar kami di KLIA, " katanya ketika ditemui petugas media di sini hari ini. 

Abdul Ghani merupakan salah seorang daripada 282 jemaah haji kumpulan pertama (KT1) yang disambut meriah sebaik tiba di Hotel Emaar Royal di sini, selepas berlepas dari KLIA, dengan majlis pelepasan disempurnakan oleh Mohd Na'im. 

Daripada 282 jemaah haji itu, 115 jemaah terdiri daripada jemaah lelaki manakala 167 lagi jemaah wanita yang selamat tiba dengan pesawat Malaysia Airlines MH8050 sebelum dibawa dengan menaiki bas ke zon penginapan.

Sementara itu Wan Draman Wan Abdullah, 68, dari Kelantan bersyukur penantian selama 15 tahun untuk menunaikan rukun Islam kelima itu berakhir apabila menerima tawaran menjadi Duyufurrahman (tetamu Allah) musim haji tahun ini. 

Bagaikan segala telah tersurat, secara kebetulan tawaran itu tiba selepas beberapa bulan beliau berjaya menjual salah sebuah rumah yang dimiliki, dan wang itu digunakan untuk menampung perbelanjaan sepanjang menunaikan haji. 

Ramli Md Saad, 79, dari Perlis pula berkata walaupun usianya sudah lebih separuh abad namun itu tidak mematahkan semangatnya untuk menunaikan dan mendapat haji mabrur.

Pesara guru berkenaan merasa bersyukur kerana hasrat menunaikan haji yang tertangguh tahun lepas berikutan masalah kesihatan yang dialami isterinya, dapat dilaksanakan pada tahun ini dan beliau menyifatkan ia sebagai rezeki yang tidak disangka-sangka. 

"Sepatutnya saya pergi tahun lepas, tetapi kesihatan isteri saya tidak mengizinkan dan tidak melepasi syarat ditetapkan. Justeru saya terpaksa menangguhkan pemergiaan saya ke Tanah Suci Mekah.

"Alhamdulillah hajat saya termakbul tahun ini dan saya akan gunakan peluang sebaik-baiknya untuk beribadat kepada Allah SWT," katanya. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan