AM > BERITA

RM1.32 JUTA SELENGGARA RKAT KEM SERI PANTAI TERENGGANU

27/04/2024 11:11 PM

KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) -- Kementerian Pertahanan memperuntukkan RM1.32 juta bagi menyelenggara 301 unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) dan blok penginapan Kem Seri Pantai, Batalion ke-18 RAMD (Para) di Kuala Terengganu, Terengganu.

Kementerian Pertahanan dalam kenyataan memaklumkan penyerahan cek cura peruntukan tersebut disempurnakan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada lawatan kerja dan majlis Aidilfitri bersama anggota serta keluarga di kem berkenaan hari ini.

RKAT itu melibatkan 240 unit rumah pegawai tidak tauliah rendah (PTTR), pegawai tidak tauliah kanan (PTTK) (35 unit) dan pegawai (26 unit).

“Simbolik penyerahan peruntukan ini membuktikan Kementerian Pertahanan sentiasa cakna dan komited dalam usaha memelihara kebajikan dan kemaslahatan warga Tentera Darat Malaysia.

“Aspek kebajikan warga ATM sentiasa menjadi nadi utama yang dititikberatkan dalam menjamin tahap kesejahteraan warga sentiasa terpelihara dan memiliki moral tinggi dengan kualiti hidup yang sejahtera,”  menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut Mohamed Khaled yang diiringi Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Hafizuddeain Jantan turut melihat keadaan kediaman penghuni sebaik tiba di kem tersebut.

Mohamed Khaled juga menyampaikan Sumbangan Pendidikan MADANI oleh Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (YLTAT) untuk anak-anak ATM serta bantuan kebajikan kepada 14 penerima melibatkan anggota atau waris yang menghidap penyakit kronik.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan