AM > BERITA

PROGRAM MADANI RAKYAT ZON UTARA TAWAR LEBIH 1,500 PEKERJAAN

26/04/2024 05:07 PM

KUALA LUMPUR, 26 April (Bernama) -- Sebanyak 1,582 peluang pekerjaan ditawarkan pada karnival kerjaya sempena Program MADANI Rakyat Zon Utara yang akan berlangsung di Tapak Pesta Sungai Nibong, Pulau Pinang dari 3 hingga 5 Mei ini.

Ketua Penyelaras Program MADANI Rakyat 2024 Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Pejabat Perdana Menteri Mohd Zainuddin Mohd Noor berkata 30 peratus daripada pemohon akan menerima surat tawaran sejurus selepas temuduga selesai jika berkelayakan.

“Saya menyeru anak-anak muda dan pencari kerja supaya hadir ke karnival kerjaya ini kerana ada syarikat besar yang menawarkan gaji lumayan, selain kira-kira 26 majikan yang akan turut hadir. 

“Terdapat 12 kementerian di bawah sekretariat berkaitan juga akan menghebahkan mengenai kursus-kursus di bawah Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan lepasan pendidikan berkemahiran tinggi mampu meraih pendapatan yang lumayan,” katanya pada wawancara mengenai pengisian sempena Program MADANI Rakyat di Nasional FM hari ini.

Terdapat pelbagai aktiviti menarik pada program ini, antaranya penawaran diskaun sehingga 50 peratus di kaunter bayaran saman trafik Polis Diraja Malaysia, penukaran topi keledar anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebanyak 5,000 unit secara percuma dan diskaun sehingga 20 peratus bagi pelbagai Jualan Rahmah.

“JPJ juga akan menyediakan pemeriksaan motosikal yang sudah luput cukai jalan melebihi tiga tahun secara percuma kerana kita sedia maklum jika melebihi tempoh, kenderaan itu perlu menjalani pemeriksaan kenderaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) terlebih dahulu.

Mohd Zainuddin menyasarkan 100,000 pengunjung menyertai program tiga hari itu.

Rabu lepas Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Pulau Pinang Abdul Kahar Abdullah berkata majlis perasmian penutupan Program MADANI Rakyat Zon Utara pada 5 Mei akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersekali dengan Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2024. 

Perkhidmatan bas perantara akan disediakan bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam sepanjang tiga hari program berlangsung.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan