AM > BERITA

JURUTERBANG BOMBA DIHANTAR KE UAE JALANI LATIHAN TAMBAHAN SECARA SIMULASI

24/04/2024 10:51 PM

KUANTAN, 24 April (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan menghantar juruterbang ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk menjalani latihan kecemasan helikopter secara simulasi bagi meningkatkan kemahiran anggota pasukan berkenaan. 

Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad berkata bagi tujuan itu, JBPM telah diberikan peruntukan sebanyak RM800,000 untuk menghantar kesemua 17 juruterbang ke negara terbabit.

Beliau berkata latihan simulasi itu penting bagi mengurangkan risiko kemalangan udara dan setakat ini, empat juruterbang JBPM telah dihantar menjalani latihan itu pada tahun lepas dan selebihnya diharap dapat diselesaikan menjelang penghujung tahun ini.

“Latihan simulasi sudah lama dirancang, tetapi tertunda disebabkan isu COVID-19 serta diburukkan lagi dengan krisis antara Ukraine dan Rusia menyebabkan kita tidak dapat menggunakan fasiliti latihan simulasi  helikopter yang ada di Ukraine.

"Tetapi, tahun lepas kita mendapati UAE ada dibangunkan fasiliti sama seperti di Ukraine dan kita mula menghantar pasukan JBPM ke sana sebanyak empat juruterbang pada November tahun lepas,” katanya kepada media selepas Majlis Penganugerahan Pangkat Kehormat JBPM di sini hari ini.

Ketika ditanya mengenai sambutan Hari Bomba Malaysia pada 4 Mei ini di Perak, Nor Hisham berkata antara persiapan dilakukan ialah menambah latihan penerjunan udara, Unit Udara Bomba daripada tiga hari kepada lima hari disebabkan faktor angin. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan