KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Seorang wanita maut, manakala dua lagi cedera parah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 438.5 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah Sungai Buaya, awal pagi ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Muhklis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 6.30 pagi, sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Sentosa tiba di lokasi pada 6.55 pagi.
Beliau berkata kemalangan itu melibatkan dua Perodua Myvi serta sebuah Honda Jazz.
“Myvi pertama membawa dua mangsa, iaitu seorang lelaki berusia 25 tahun yang tersepit dan mengalami kecederaan parah, serta seorang wanita berusia 44 tahun yang tercampak keluar dari kenderaan dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.
“Seorang wanita berusia 30 tahun yang menaiki Myvi kedua turut tersepit dan mengalami kecederaan parah, manakala seorang lelaki berusia 27 tahun yang berada dalam Honda Jazz berjaya keluar sendiri dan hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit selesai pada 7.13 pagi, dan kesemua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak KKM untuk tindakan lanjut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial