AM > BERITA

PAS PUJI TINDAKAN PANTAS MENTERI PERTAHANAN KENDALIKAN TRAGEDI HELIKOPTER TLDM

24/04/2024 11:00 AM

KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- PAS memuji tindakan pantas Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam mengendalikan tragedi dua helikopter terhempas yang mengorbankan 10 anggota dan pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) semalam.

Merakamkan ucapan takziah kepada semua keluarga mangsa, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata pihaknya turut mengalu-alukan tindakan menteri termasuk membatalkan acara sambutan ulang tahun ke-90 TLDM dan digantikan dengan majlis tahlil dan doa selamat Jumaat ini.

“PAS juga menyambut baik jaminan beliau untuk bukan sahaja membantu menguruskan jenazah mangsa, tetapi juga mengurus semua manfaat serta faedah yang sewajarnya diterima oleh balu dan keluarga mangsa bagi menjaga kebajikan mereka.

“Walaupun tidak menetapkan had masa untuk menyediakan laporan interim kejadian, jaminan menteri untuk melakukannya, selain keputusan kementerian untuk menubuhkan sebuah lembaga siasatan TLDM bagi mengenal pasti punca kejadian adalah langkah yang tepat dan sewajarnya disegerakan tanpa lengah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam kejadian 9.32 pagi Selasa, dua helikopter TLDM terhempas di Lumut ketika sedang menjalani raptai lintas hormat untuk kali ketiga sempena sambutan Hari Terbuka Armada TLDM yang dijangka berlangsung Sabtu ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan