AM > BERITA

CAAM SAHKAN PESAWAT CESSNA TERHEMPAS DI FELDA GUNUNG BESOUT, DUA TERSELAMAT

04/05/2024 03:50 PM

KUALA LUMPUR, 4 Mei (Bernama) -- Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan sebuah pesawat Cessna 172N Skyhawk dengan nombor pendaftaran 9M-ADA terhempas berhampiran Felda Gunung Besout, Sungkai, Perak hari ini.

Pesawat kendalian Layang Layang Flying Academy membawa dua orang yang terselamat dalam kejadian itu, berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh pada pukul 7.54 pagi, dan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) menerima transmisi maklumat terakhir dari pesawat itu semasa ia berada di Slim River pada pukul 9.35 pagi.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata Pengawal Bertugas telah mengambil tindakan segera sebaik sahaja pesawat itu gagal membuat laporan berhubung kedudukan di Bidor.

“Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautik Kuala Lumpur (KLARCC) di KLATCC telah diaktifkan pada 10.15 pagi sejurus menerima maklumat mengenai nahas untuk penyelarasan operasi menyelamat, dan kedua-dua mereka telah diselamatkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan lanjut akan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) di bawah Kementerian Pengangkutan, selaras dengan Bahagian XXVI Peraturan Penerbangan Awam 2016.

Terdahulu Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri memberitahu media bahawa jurulatih penerbangan Kapt Shahrul Imran Surea, 26, dan pelatih Ho Jia Lee, 20, terselamat dalam kejadian itu.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan