AM

PEMERIKSAAN KESIHATAN BERKALA: MENCEGAH LEBIH BAIK DARIPADA MENGUBATI

17/04/2024 03:59 PM

KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Pemeriksaan kesihatan berkala amat penting bagi setiap individu dalam mengetahui status kesihatan diri, malah bertepatan dengan pepatah lama iaitu 'mencegah lebih baik daripada mengubati'.

Pegawai Perubatan Residen Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway Dr Wee Hui Yin berkata masyarakat hari ini sering mengabaikan kesihatan kerana tuntutan kerja dan tanggungjawab yang mendesak dalam dunia serba pantas.

Beliau berkata sesetengah pihak hanya mendapatkan rawatan perubatan apabila benar-benar rasa tidak sihat, sehingga sering terlupa bahawa sesuatu penyakit itu mungkin sudah berkembang ke tahap lebih teruk tanpa disedari.

"Penyakit yang lambat dikesan akibatnya boleh menjadi sangat parah, menyebabkan rawatannya lebih rumit serta mengurangkan peluang untuk pulih sepenuhnya.

"Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019, hanya 49 peratus rakyat Malaysia yang membuat saringan kesihatan dalam tempoh 12 bulan terakhir, bermakna baki 51 peratus lain tidak membuat pemeriksaan, statistik ini membimbangkan dan amalan ini perlu diubah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Wee berkata pemeriksaan kesihatan secara berkala perlu dititikberatkan, malah dijadikan sebagai satu aspek asas dalam menjaga kesejahteraan seterusnya menggalakkan masyarakat yang lebih sihat.

Beliau berkata walaupun pemeriksaan kesihatan patut disesuaikan untuk setiap individu mengikut jantina, umur dan sejarah kesihatan keluarga, panduan asasnya ialah saringan kesihatan menyeluruh perlu dibuat setiap tahun malah pemeriksaan lebih kerap mungkin diperlukan bagi individu dengan risiko tertentu.

"Garis Panduan Konsensus Pemeriksaan Kesihatan Dewasa yang diperkenalkan Persatuan Doktor Pakar Perubatan Keluarga Malaysia mengesyorkan antara saringan yang perlu dilakukan oleh individu setiap tahun ialah kanser kolon, tekanan darah tinggiDiabetes Mellitus dan Dyslipidaemia selain untuk kaum wanita pula termasuk saringan Scoliosis, kanser serviks dan kanser payudara," katanya.

Menurut Dr Wee saringan kesihatan pencegahan adalah penting untuk mengenal pasti faktor risiko penyakit kronik dan tidak berjangkit (NCD) seperti sakit jantung, strok, dan kencing manis.

Beliau berkata pemeriksaan kesihatan tahunan yang merangkumi ujian darah untuk kesihatan kardiovaskular, gula dalam darah serta ujian tekanan darah adalah penting.

"Ujian darah membantu mengesan petanda dengan lebih awal, membolehkan seseorang mengetahui keadaan kesihatan dan menyiapkan diri, mengubah cara hidup termasuk mengamalkan pemakanan seimbang dan kerap bersenam bagi mengurangkan risiko mendapat penyakit tertentu selain membolehkan doktor merawat tanda-tanda awal sebelum terlambat," katanya.

Dr Wee pada masa sama berkata sekiranya membuat pemeriksaan kesihatan dengan doktor baharu, individu adalah disaran untuk berkongsi sejarah kesihatan diri dan keluarga, termasuk hasil pemeriksaan sebelumnya dan pengambilan ubat terkini, supaya doktor dapat memberikan nasihat dan rawatan yang tepat.

Beliau menepis tanggapan pemeriksaan kesihatan hanya perlu dilakukan apabila terdapat simptom, atau ia memakan masa yang panjang, atau menyakitkan dan hanya untuk orang tua.

Pemeriksaan kesihatan, katanya bertujuan memantau dan mengesan masalah kesihatan sebelum menjadi lebih teruk, walaupun tanpa gejala kerana pemeriksaan dilakukan memungkinkan pengesanan awal serta intervensi.

“Antara ciri penting saringan kesihatan pencegahan ialah maklumat yang diberikan. Apabila pesakit memahami keadaan kesihatan mereka serta risiko yang berkaitan, mereka menjadi lebih peka terhadap kesejahteraan sendiri,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan