Ad Banner
 AM > BERITA

Fenomena Cuaca Panas: Agong Nasihat Rakyat Ambil Langkah Berjaga-jaga

26/03/2026 02:52 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini menasihati rakyat supaya mengambil langkah berjaga-jaga berikutan keadaan cuaca panas yang melanda negara ketika ini yang dijangka berlarutan sehingga awal atau pertengahan Jun ini.

Menerusi hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda menekankan kepentingan menjaga kesihatan dengan mengurangkan aktiviti luar yang terdedah kepada cuaca panas serta memastikan pengambilan air yang mencukupi sepanjang tempoh berkenaan.

Sultan Ibrahim turut bertitah agar Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil perhatian serius berkenaan perkara itu bagi memastikan kesihatan murid serta pelajar tidak terjejas berikutan fenomena cuaca panas.

Ad Banner
Ad Banner

“Pada masa sama, orang ramai juga dinasihatkan supaya mengelakkan sebarang pembakaran terbuka kerana keadaan panas dan berangin boleh mempercepatkan merebaknya api.

“Warga emas serta kanak-kanak yang menghidap penyakit kronik juga dinasihatkan supaya tidak terdedah dengan cuaca panas bagi mengelakkan sebarang komplikasi,” titah Seri Paduka Baginda.  

Yang di-Pertuan Agong bertitah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut berperanan penting dengan meningkatkan tahap kesiapsiagaan berikutan cuaca panas semasa yang berpotensi mencetuskan peningkatan kes kebakaran.

Selain itu Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada semua agensi keselamatan dan penyelamat termasuk JBPM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta petugas kesihatan yang sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang tempoh cuaca panas ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan fenomena cuaca panas yang sedang melanda negara ketika ini berterusan hingga awal Monsun Barat Daya (MBD) pada Jun, susulan keadaan atmosfera lebih kering dan taburan hujan rendah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan