BERITA COVID–19   N.Sembilan benar solat Aidilfitri ikut kapasiti masjid | Tuanku Muhriz nasihat rakyat N. Sembilan rai Aidilfitri¬†secara sederhana¬† | PKPB: Sabah tidak benarkan rentas daerah mulai Isnin depan | PKPD di 16 lokaliti Sungai Ruan, tujuh di Sempalit, Pahang - Ismail Sabri | COVID: Malaysia catat 3,551 kes baharu hari ini - KP Kesihatan | 
AM

MOTAC, persatuan kerjasama rangka pelan pemulihan pelancongan

23/04/2021 03:28 AM

KOTA KINABALU, 22 April  -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedang berkerjasama dengan persatuan pelancongan di negara ini, bagi merangka serta melaksanakan pelan pemulihan pelancongan yang kini berdepan cabaran dibawa COVID-19.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kerjasama itu merupakan salah satu pelan jangka pendek di bawah Dasar Pelancongan Negara (DPN) 2020-2030 yang penting, bagi menjamin kelangsungan industri pelancongan negara.

“Antara strategi yang dilaksanakan (dalam pelan itu) adalah memulihkan keyakinan orang awam untuk melancong semula, sambil mengadaptasi norma baharu seperti keselamatan, kebersihan dan kesihatan, serta pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP).

“Selain itu, memberi penekanan dalam usaha merancakkan semula pelancongan domestik, dengan menawarkan pakej pelancongan yang kreatif dan menarik menerusi platform digital, serta mempromosi keunikan destinasi pelancongan desa atau ‘hidden gems’,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan merasmikan Sesi Jerayawara DPN 2020-2030 yang turut dihadiri Timbalannya Senator Datuk Guan Dee Koh Hoi dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin.

Nancy berkata, strategi menawarkan destinasi pelancongan desa dan 'hidden gems' itu, mampu menjadi pemangkin kedatangan pelancong, memandangkan pelancong kini gemarkan destinasi yang selamat, kurang sesak dan persekitaran selesa serta nyaman.

Beliau berkata, selain itu strategi menawarkan insentif dan promosi dalam bentuk baucar rebat, e-baucar, pulangan tunai melalui e-wallet serta diskaun, akan dilaksana menerusi kerjasama itu bagi menarik lebih ramai pelancong ke negara ini.

“Usaha yang kita lakukan ini juga bagi memastikan Malaysia sentiasa menjadi destinasi utama pilihan pelancong dalam dan luar negara, apabila sempadan dibuka kelak,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata siri jerayawara di Sabah kali ini agak berbeza berbanding siri di negeri lain, kerana dua elemen diadakan secara bersekali iaitu DPN 2020-2030 dan Kempen 'Meet in Malaysia@Sabah'.

Nancy berkata, program itu dilaksanakan oleh Malaysia Convention and Exhibition Bureau (MyCEB) sebuah agensi di bawah MOTAC, bagi merangsang semula segmen acara perniagaan seterusnya membantu industri pulih lebih cepat.

“Sesi libat urus bersama negeri-negeri adalah agenda penting MOTAC demi memastikan semua pihak berkepentingan sekata, mempunyai visi agenda transformasi yang sama dan seterusnya menerapkan strategi-strategi DPN, ke dalam rancangan tindakan masing-masing,” katanya.

-- BERNAMA

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan