BERITA COVID–19   Wanita B40 raih pendapatan mampan di sebalik penularan pandemik | Polis siasat dakwaan KP Pendidikan Tinggi langgar SOP PKP | Penafian berita palsu tular 15 Mei - KKMM | MRSM Pengkalan Hulu nafi isu tular berkaitan makanan pelajar | Video tular mengenai Stadium Malawati tidak benar | 
AM

KVDSMZ ditutup dua minggu, 37 pelajar positif COVID-19

21/04/2021 09:52 PM

MELAKA, 21 April  -- Kolej Vokasional Datuk Seri Mohd Zain (KVDSMZ) Alor Gajah ditutup selama dua minggu bermula hari ini sehingga 4 Mei depan susulan 37 pelajarnya disahkan positif COVID-19. 

Exco Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata ia berikutan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka telah menerima notifikasi kes positif seorang pelajar kolej hasil daripada saringan bergejala yang baru pulang dari Zon Merah pada 16 April lepas.

"Berikutan itu, saringan segera ke atas 196 orang kontak rapat kepada kes positif itu yang melibatkan rakan kolej dan guru telah dijalankan, manakala kesemua pelajar yang positif telah diasingkan dan dirujuk untuk rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Beliau berkata kesemua kontak rapat yang disaring telah diberikan arahan kuarantin dan dipakaikan gelang kuarantin, dengan pemantauan berterusan bagi kontak rapat kes-kes positif di blok terlibat akan diteruskan, di samping kerja-kerja disinfeksi premis dijalankan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka.

Sementara itu Rahmad berkata susulan terdapat pertambahan kes COVID-19 di Melaka hari ini, penilaian seterusnya telah mengenal pasti seramai 430 kontak rapat kepada kes-kes positif yang lain dan ujian saringan COVID-19 akan dijalankan dalam masa terdekat oleh pihak kesihatan.

Orang ramai yang ingin mengajukan sebarang pertanyaan berhubung perkembangan COVID-19 di Melaka boleh menghubungi Crisis Preparedness and Response Center (CPRC) Melaka dengan menelefon 06-2356999/6851 atau melalui e-mel cprcmelaka@moh.gov.my

-- BERNAMA

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan