BERITA COVID–19   MOSTI diminta tangguh umum maklumat yang diperoleh daripada HIDE | PKP beri impak bekalan darah di Sabah | Situasi COVID-19 di Besut membimbangkan, penduduk dinasihat had pergerakan, patuh SOP | Varian baharu COVID-19 bawa gejala lebih teruk - KP Kesihatan | COVID-19: Ketua Pemuda PAS Selangor tidak kritikal - DPPNS | 
AM

Empat tan al-Quran, buku doa rosak akibat banjir dilupuskan

19/04/2021 12:18 PM

KUANTAN, 19 April -- Kira-kira empat tan al-Quran termasuk buku doa yang rosak akibat banjir di Pahang awal tahun ini sudah dilupuskan.

Pengusaha Pusat Pemulihan al-Quran Temin Mohamad Zakaria berkata pihaknya mula menerima naskah berkenaan daripada Pejabat Agama Islam daerah pada hujung Januari lepas dengan kerja-kerja pelupusan masih dilaksanakan sehingga kini.

Menurutnya proses pelupusan al-Quran mengambil masa sehingga dua hari dan perlu dilaksanakan dengan rapi mengikut syariat Islam bagi memelihara kemuliaannya.

"Keseluruhannya kami menerima hampir enam tan al-Quran, buku doa dan yasin yang rosak disebabkan banjir dari daerah Temerloh, Jerantut dan Lipis. Sehingga kini masih berbaki dua tan untuk dilupuskan.

"Proses pelupusan dilaksanakan setiap hari sejak Januari lepas. Kesemua naskah berkenaan harus dikeringkan terlebih dahulu sebelum pembakaran dilakukan...hanya 200 kilogram naskah dapat dibakar dalam satu sesi yang memerlukan masa 48 jam," katanya ketika dihubungi Bernama.

Bercerita lanjut mengenai proses pelupusan berkenaan, beliau yang mengusahakan pusat berkenaan dengan rakannya Zainal Idris berkata kitab kalamullah itu akan dibuka dan disusun untuk dikeringkan terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke dalam mesin insinerator untuk tujuan pembakaran dan dibiarkan sehingga keesokannya. 

"Biasanya kami akan mula membakar sekitar 8 pagi sehingga 5 petang, kemudian biarkan naskah berkenaan sehingga keesokkan harinya di dalam mesin itu supaya bara api padam dan menjadi abu sepenuhnya," katanya yang mengusahakan pusat berkenaan sejak 2014.

Menurut beliau, sejurus selesai pembakaran, proses pembekuan dilakukan dengan memasukkan abu ke dalam acuan seramik sekitar 10 hingga ke 15 minit.

"Kami akan pastikan pembakaran itu sempurna iaitu bebas karbon sebelum melakukan proses pembekuan ini untuk mengelakkan abu berterbangan yang kemudiannya dibawa ke tanah perkuburan Kampung Temin, Jerantut untuk ditanam," jelasnya.

-- BERNAMA
 

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan