BERITA COVID–19   COVID: Thailand dalam proses tambah permerolehan vaksin | COVID-19: Lagi varian baharu ditemukan di Indonesia | COVID: 929,435 individu di Sarawak dijangka terima vaksin fasa kedua | PKPD di beberapa kawasan di Sarawak, Kelantan dan Sabah bermula esok | PKPD di beberapa kawasan di Sarawak, Kelantan dan Sabah bermula esok | 
AM

AADK Kelantan akan laksana program ujian saringan air kencing di sekolah

08/04/2021 05:17 PM

PASIR PUTEH, 8 April -- Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kelantan akan melaksanakan program ujian saringan air kencing kepada pelajar sekolah menengah di negeri itu bermula bulan ini bagi membendung penglibatan pelajar dalam pengambilan dadah.

Pengarah AADK Kelantan Rohayu Ahmad berkata program itu akan dilaksanakan di semua sekolah menengah di negeri tersebut dan pelajar yang didapati positif akan dimasukkan ke dalam program pemulihan berbentuk kem di bawah agensi tersebut. 

"Sekarang ini kami masih belum ada rekod jumlah penglibatan pelajar dengan dadah, oleh itu kita akan melaksanakan program ujian saringan air kencing kepada pelajar memandangkan sekolah ketika ini baru dibuka semula.

"Kita telah berbincang dengan pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi melaksanakan program itu," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian dan pelancaran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Petai sebagai Sekolah Angkat ADDK, di sini hari ini.

Sehubungan itu juga beliau berharap pihak sekolah akan memberi kerjasama baik dengan tidak menyembunyikan data pelajar yang terlibat dadah.

Menurutnya setakat ini, AADK Kelantan mengenal pasti 15 kawasan berisiko tinggi aktiviti penyalahgunaan dadah membabitkan lima jajahan, antaranya Kota Bharu dan Tumpat.

-- BERNAMA

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan