Selasa, 26 Januari 2021
14/01/2021 04:18 PM

GUA MUSANG, 14 JAN -- Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) hari ini telah mengagihkan bakul makanan kepada 172 keluarga Orang Asli di Pos Gob di sini, yang terperangkap atau terputus hubungan susulan jalan utama ke bandar mengalami kerosakan teruk serta jambatan runtuh. 

Pegawai JAKOA daerah Muhamad Yusrizal Ghani berkata berikutan keadaan jalan penghubung itu, pihaknya memohon bantuan Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk membawa sumbangan makanan ke lokasi berkenaan.

"JAKOA sudah membuat persiapan bagi menghantar bantuan makanan itu kepada Orang Asli di pos terbabit tetapi terhalang dengan masalah kerosakan jalan dan jambatan.

"Sehubungan itu, permohonan terpaksa dilakukan bagi mendapat bantuan helikopter Unit Udara JBPM bagi mempercepatkan hantaran untuk mengelakkan mereka dalam keadaan kebuluran.

"Alhamdulillah, hari ini kita sudah berjaya menghantar bantuan makanan seperti beras, susu, sardin, tepung gandum, serbuk teh dan biskut," katanya ketika ditemui di Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, di sini.

Muhamad Yusrizal berkata Unit Udara JBPM tersebut berlepas dari Pangkalan Subang, Selangor pada 9.35 pagi dan mendarat di pekarangan Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, kira-kira 10.30 pagi tadi. 

Jelasnya, kini hanya tinggal penduduk Orang Asli di Pos Bihai, Simpor dan Belatim belum menerima bakul makanan dan akan berusaha menghantar bakul makanan secepat mungkin.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Unit Udara JBPM Pangkalan Subang Penolong Penguasa Bomba Mohd Farhan Marzuki berkata penerbangan itu menggunakan pesawat Crew Agusta AW189.

Beliau berkata penerbangan itu terus ke Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang yang menjadi pusat mengumpul bakul makanan sebelum dibawa ke Pos Gob.

"Hari ini juga cuaca amat baik dan helikopter dapat mendarat dengan selamat di Pos Gob untuk menghantar bakul makanan terbabit," katanya. 

-- BERNAMA

 

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan