Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Harga Bahan Makanan Masih Terkawal Meskipun Tekanan Input Mula Kelihatan - Akmal

28/04/2026 07:08 PM

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Harga bahan makanan terpilih masih berada dalam julat terkawal meskipun tekanan input mula kelihatan, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Beliau berkata bagi tempoh 20 hingga 22 April harga bahan makanan terpilih masih dalam trend pergerakan terkawal dengan perubahan harga kurang daripada 10 peratus.

Menurut beliau, harga purata ayam standard meningkat 3.3 peratus kepada RM9.70 per kilogram (kg), telur ayam Gred C meningkat 7.3 peratus kepada RM3.93 bagi 10 biji manakala daging lembu menurun 3.8 peratus kepada RM35.92 per kg. 

Ad Banner

"Bagi makanan laut, ikan kembung menurun 1.1 peratus kepada RM16.10 per kg, manakala ikan cencaru dan udang putih masing-masing meningkat 0.95 peratus kepada RM10.36 per kg dan 0.61 peratus kepada RM32.03 per kg.

"Dalam kategori sayur-sayuran pula, sawi meningkat daripada RM6.16 per kg kepada RM6.51 per kg, bayam hijau meningkat hampir lima peratus kepada RM5.59 per kg dan santan kelapa segar meningkat 3.6 peratus kepada RM16.41 per kg," katanya pada Taklimat Krisis Bekalan Global, hari ini.

Akmal Nasrullah berkata trend berkenaan menunjukkan bahawa tekanan kos input dan logistik mula memberi isyarat awal mengenai rantaian bekalan makanan domestik. 

Ad Banner
Ad Banner

"Sebab itu, pemantauan tidak boleh hanya dibuat di peringkat harga runcit, tetapi mesti bermula daripada peringkat huluan iaitu baja, diesel, tenaga, bahan mentah, pengeluaran, pengangkutan dan pengedaran.

“Kerajaan juga akan meneruskan pemantauan dan intervensi bersesuaian bagi mengurangkan kesan kepada pengguna serta mengekalkan kestabilan harga," katanya.

Selain itu, beliau berkata pasaran buruh turut menunjukkan keadaan masih terkawal, namun kesan tertunda perlu ditangani lebih awal.

Menurut beliau, data permohonan faedah kehilangan pekerjaan di bawah Sistem Insurans Pekerjaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menunjukkan trend menurun bagi bulan ini iaitu sebanyak 5,734 pekerja dilaporkan kehilangan pekerjaan dalam tiga minggu pertama April, lebih rendah berbanding Mac iaitu sebanyak 5,855 pekerja dan Februari dengan 7,512 pekerja.

"Sebagaimana telah dimaklumkan dalam taklimat lepas, impak terhadap pasaran buruh dijangka lebih ketara pada suku kedua 2026, khususnya akibat kesan tertunda krisis tenaga global.

"Berdasarkan pelaporan kepada Jabatan Tenaga Kerja, lima sektor utama yang terkesan bagi Januari hingga Mac 2026 ialah pembuatan, perkhidmatan lain, maklumat dan komunikasi, penginapan dan makanan, serta pengangkutan dan penyimpanan," katanya.

Justeru, beliau berkata kerajaan akan terus memberi fokus strategik bagi memperkukuh daya tahan pasaran buruh domestik serta melindungi pekerja dan majikan dalam menghadapi kesan krisis ini melalui inisiatif sedia ada.

Beliau berkata antaranya ialah memperkukuh kesiapsiagaan perlindungan sosial, memperkasakan latihan dan penempatan pekerjaan, mengupaya pekerja gig dan memantapkan bakat muda serta ketahanan majikan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Kesimpulannya, kerajaan memandang serius ke atas tekanan global yang sedang berlaku. Walaupun pasaran domestik menunjukkan daya tahan, kerajaan sedar bahawa kesan sebenar krisis akan muncul secara berperingkat melalui kos makanan, kos tenaga, bahan binaan, projek pembangunan, aliran tunai perniagaan dan pekerjaan rakyat.

“Sebab itu, pendekatan kerajaan adalah untuk stabilkan bekalan, kawal tekanan kos, lindungi pekerjaan, meneruskan projek penting yang memberi impak terus kepada rakyat, memperkukuh sumber domestik dan kekalkan keyakinan ekonomi negara,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan