Ahad, 17 Januari 2021
AM
10/01/2021 11:36 AM

KUANTAN, 10 Jan -- Kerajaan negeri Pahang memperuntukkan RM11 juta untuk menyediakan keperluan harian mangsa banjir khususnya mereka yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. 

Beliau berkata jumlah itu meliputi peruntukan tambahan RM8 juta yang diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada Jumaat lepas mengambil kira situasi banjir yang berlaku sekarang. 

"Jumlah keseluruhan RM11 juta pada tahun ini ialah yang kedua tertinggi selepas bencana banjir besar pada 2014/2015 yang melibatkan kira-kira 100,000 mangsa, iaitu sebanyak RM57 juta.

"Peruntukan tambahan yang disalurkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diharapkan dapat membantu mereka untuk terus menjaga kebajikan mangsa banjir," katanya dalam kenyataan hari ini.

Untuk rekod, peruntukan banjir kerajaan negeri pada pada 2016 ialah sebanyak RM16,493, masing-masing RM1.9 juta bagi  2017 dan 2018,  serta RM46,200 pada 2019 yang dibuat berdasarkan keperluan dan tahap keseriusan banjir pada tahun tersebut. 

Wan Rosdy berkata  JKM juga telah membelanjakan kira-kira RM3.4 juta untuk operasi banjir kali ini dengan RM2.9 juta digunakan bagi membeli barang keperluan harian mangsa di PPS. 

"Saya berharap mereka yang berada di PPS dan di lapangan, termasuk petugas dan sukarelawan, sentiasa mementingkan keselamatan dan kesihatan diri serta menjaga prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan untuk membendung penularan wabak COVID-19," katanya. 

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak berkata kerajaan negeri juga dalam usaha menyediakan bekalan air minuman secukupnya bagi kegunaan mangsa banjir dan pascabanjir. 

Sallehuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang menjangkakan lebih sejuta botol air minuman diperlukan, justeru beliau mengalu-alukan sumbangan orang ramai dan badan bukan kerajaan. 

"Air minuman antara keperluan utama pada musim banjir kerana loji rawatan air di beberapa lokasi terjejas banjir terpaksa ditutup dan sumber air yang dikhuatiri kebersihannya dibimbangi boleh menyebabkan penyakit," katanya.

Setakat pagi ini, jumlah mangsa banjir di Pahang ialah seramai 26,375 orang daripada 7,120 keluarga yang ditempatkan di 274 PPS di sembilan daerah dengan Temerloh menjadi daerah paling teruk terjejas kali ini.

-- BERNAMA

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan