Selasa, 27 Oktober 2020
AM
19/10/2020 01:34 PM

Oleh Kamaliza Kamaruddin

KUALA TERENGGANU, 18 Okt -- Tahukah anda losyen badan serta krim pelindung matahari yang digunakan ketika melakukan aktiviti rekreasi di laut seperti selam snorkel dan selam skuba boleh mengancam kepupusan batu karang.

Walau kedengarannya agak melucukan namun itu adalah realiti yang berlaku ketika ini apabila pelancong lebih teruja untuk melindungi kulit mereka berbanding memahami tentang pemuliharaan serta kerosakan 'harta’ berharga di lautan itu.

Pakar penyelidik batu karang Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Dr Tan Chun Hong berkata krim pelindung matahari dan losyen badan berfungsi dengan membentuk satu lapisan atas permukaan kulit untuk menghalang cahaya matahari. 

"Apabila seseorang berada di dalam laut, kajian menunjukkan losyen badan dan krim pelindung matahari itu akan larut dalam air yang mana ia menyebabkan bahan kimia yang ada akan diserap dan terkumpul dalam badan batu karang.

"Sehingga mencapai tahap tertentu, ia boleh mengakibatkan kelunturan warna, merosakkan DNA, menyebabkan tumbesaran terbantut dalam tahap juvenil dan juga boleh mengakibatkan kematian batu karang jika kuantiti yang diserap terlalu tinggi," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Kandungan dalam krim pelindung matahari yang berbahaya kepada batu karang antaranya seperti Oxybenzone, Benzophenone-1, Benzophenone-8, OD-PABA, 4-Methylbenzylidene camphor, 3-Benzylidene camphor, nano-Titanium dioxide, nano-Zinc oxide, Octinoxate dan Octocrylene.

Bagaimanapun, beliau berkata kesalahan tidak boleh dituding kepada pelancong semata-mata kerana mereka tidak tahu mengenai impak aktiviti rekreasi itu kerana tidak diberi kesedaran dan pendidikan yang mencukupi.

"Penggunaan krim pelindung matahari dan losyen badan yang organik dapat membantu mengurangkan ancaman kemusnahan terhadap batu karang," katanya yang turut menekankan bahawa ancaman kemusnahan batu karang terbahagi kepada dua iaitu faktor alam semula jadi seperti arus ombak kuat serta tsunami dan aktiviti manusia yang menyumbang kepada pemanasan global seperti El Nino seterusnya berlaku fenomena kelunturan warna yang menyebabkan batu karang itu mati.

Tambahnya, ramai yang beranggapan bahawa aktiviti pelancongan di pulau-pulau Malaysia adalah faktor terbesar menyebabkan ancaman kemusnahan batu karang di negara ini sedangkan anggapan itu kurang tepat kerana setiap individu adalah bertanggungjawab terhadap ancaman itu.

"Ini kerana penggunaan tenaga elektrik, pelepasan karbon dioksida, pembuangan sampah, penggunaan racun kimia industri pertanian dan perkilangan serta pencemaran alam sekitar adalah penyebab utama kepada berlakunya perubahan iklim dan pemanasan global di seluruh dunia," katanya.

Setakat ini, dunia telah mengalami tiga kali kelunturan warna karang yang berskala besar iaitu pada 1997 hingga 1998, 2010 dan paling kritikal pada 2016 hingga 2017 yang menyebabkan kematian tinggi ekosistem terumbu karang terbesar di dunia yang terletak di Australia (Great Barrier Reef), malah ada sesetengah kawasan di situ mengalami kematian 90 hingga 95 peratus.

Bagaimanapun, Malaysia masih bernasib baik impak kelunturan warna itu hanya menyebabkan  kematian antara lima hingga 10 peratus sahaja namun, dengan suhu global yang semakin meningkat dan tidak terkawal berkemungkinan Malaysia akan menerima tempiasnya.

"Walaupun kematian yang direkodkan hanya lima hingga 10 peratus sahaja, ia adalah sangat serius kerana tumbesaran batu karang sangat perlahan iaitu puratanya hanya 10 sentimeter sahaja untuk tempoh setahun, malah untuk karang berbentuk massif, ia hanya tumbuh sebanyak satu milimeter (mm) sahaja setahun," katanya.

Ditanya apakah peranan UMT dalam memastikan kelestarian ekosistem terumbu karang agar ia mampu bertahan untuk generasi akan datang, beliau berkata beberapa kumpulan penyelidik universiti itu giat melakukan beberapa kajian berkaitan sistem reproduktif, tumbesaran dan merekodkan sebanyak mungkin lokasinya di perairan negara.

Beliau turut menyarankan agar kerajaan melaksanakan pengkelasan zon untuk memelihara kewujudan terumbu karang yang masih ada di perairan Malaysia agar mudah untuk agensi penguatkuasa membuat pemantauan.

"Kita cadangkan agar kerajaan isytihar beberapa zon contohnya zon khas untuk aktiviti rekreasi pelancongan, penyelidikan dan zon khas yang perlu ditutup untuk semua aktiviti agar habitatnya kekal tidak diganggu.

"Paling penting adalah peranan pengusaha resort, selam snorkel dan selam skuba untuk mengingatkan pelancong agar tidak menyentuh batu karang ini dan sebolehnya gunakan losyen atau krim organik yang lebih mesra alam sekitar ketika melakukan aktiviti rekreasi tersebut," katanya.

-- BERNAMA

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan