Ahad, 25 Oktober 2020
AM
12/10/2020 05:41 PM

MELAKA, 12 Okt -- Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) menjalinkan kerjasama dengan dua syarikat swasta iaitu WeGrow Global Sdn Bhd dan Wildlife Concepts Consultancy Sdn Bhd untuk projek menaik taraf di Zoo Melaka bernilai RM17 juta.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Seri Abdul Ghafar Atan berkata melalui kerjasama yang dimeterai untuk tempoh 10 tahun itu, sebuah taman dinosaur atau 'Dinosaur Encounter' dan pertunjukan haiwan bertaraf antarabangsa akan dibangunkan di zoo berkenaan.

"Sebanyak RM12 juta diperuntukkan untuk membaik pulih dan menukarkan kawasan Mini Safari kepada 'Dinosaur Encounter' yang dijangka siap sepenuhnya pada bulan depan, manakala RM5 juta diperuntukkan untuk menambah baik pertunjukan haiwan di Zoo Melaka bermula Disember ini.

Semoga dengan adanya dua projek terbaharu ini lebih ramai pengunjung datang ke Zoo Melaka untuk melihat dan merasai sendiri pengalaman aktiviti tersebut, sekali gus meningkatkan jumlah pelancong ke negeri bersejarah ini," katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian berkenaan, di sini hari ini.

Dalam majlis itu, MPHTJ yang merupakan pengendali Zoo Melaka diwakili Yang Dipertua MPHTJ Datuk Shadan Othman, manakala WeGrow Global diwakili Pengarah Urusannya Teh Eu Jin dan Wildlife Concepts diwakili Pengarahnya Wong Tack Foo.

Sementara itu, Teh berkata pembukaan ‘Dinosour Encounter’, pelawat bukan hanya berpeluang mempelajari makhluk yang ada sekarang tetapi juga mengenai gergasi prasejarah yang mesra kepada penghuni zoo.

Generasi muda terutamanya, akan mempelajari nilai memelihara alam sekitar, flora dan fauna menerusi kepupusan dinosaur,” katanya.

Dalam pada itu, Wong berkata pelbagai persembahan dan pertunjukan secara langsung oleh haiwan dan burung akan disajikan kepada pengunjung, selain kakitangan Wildlife Concepts dan ahli zoologi turut bersama berinteraksi dengan pengunjung mengenai haiwan-haiwan berkenaan.

Zoo Melaka berkeluasan kira-kira 20 hektar yang beroperasi sejak 1963 itu menempatkan kira-kira 650 haiwan daripada 150 spesies berlainan dari seluruh dunia turut berperanan sebagai pusat pemuliharaan, penyelidikan dan pendidikan haiwan.

-- BERNAMA

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan