Khamis, 24 September 2020
AM
15/09/2020 04:25 PM

KUALA LUMPUR, 15 Sept -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa sebahagian daripada wang terbitan bon oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah US$3 bilion bagi projek hartanah Bandar Malaysia dan Tun Razak Exchange (TRX) digunakan untuk pembelian tanah di Ayer Itam, Pulau Pinang.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Mohd Hazem Abdul Rahman, 48, berkata pembelian tanah itu merupakan antara inisiatif UMNO ketika berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13)  pada Mei 2013.

“Semasa bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hadir dalam satu kempen di Pulau Pinang, beliau telah menyatakan dalam satu ceramah bahawa tanah yang dibeli akan dimajukan oleh 1MDB untuk membina rumah mampu milik di Ayer Itam, Pulau Pinang,” kata saksi pendakwaan ke-10 itu.

Mohd Hazem yang memegang jawatan CEO dan Ahli Lembaga Pengarah 1MDB dari Mac 2013 hingga Januari 2015 berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan kes rasuah Najib membabitkan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustafa P. Kunyalam bagaimana beliau mengetahui mengenai dana 1MDB yang digunakan untuk membeli tanah itu,  Mohd Hazem menjawab: “Saya berada dalam majlis ceramah itu.”

Mohd Hazem bagaimanapun tidak menjelaskan secara terperinci mengenai pengambilan tanah berkenaan.

Sementara itu, beliau juga berkata dana US$3 bilion tersebut  tidak pernah dipersetujui oleh lembaga pengarah 1MDB digunakan untuk membayar hutang syarikat, tetapi diluluskan hanya bagi usaha sama dengan Abu Dhabi-Malaysia Investment Company (ADMIC) dan untuk pembiayaan TRX. 

“Daripada bon US$3 bilion yang diterbitkan, hanya lebih kurang US$2.7 bilion sahaja jumlah bersih yang diterima oleh anak syarikat 1MDB, 1MDB Global Investment Limited (1MDB GIL) setelah menolak semua kos pengurusan dan disimpan di dalam akaun 1MDB GIL di Bank BSI Lugano, Switzerland. 

“Sekitar Mac 2013, saya pernah diberitahu oleh peguam 1MDB, Jasmine Loo bahawa dana ini akan dilabur di Bank BSI Singapura. Ketika itu masih belum ada keperluan lagi untuk menggunakan dana kerana 1MDB belum ada projek untuk dibiayai,” katanya.

Saksi itu berkata beliau sedar bahawa keputusan untuk melabur sebahagian daripada US$3 bilion tersebut di Bank BSI Singapura telah tersasar daripada tujuan asal pengeluaran bon berkenaan iaitu untuk usaha sama pembangunan projek hartanah TRX dan Bandar Malaysia.

“Dana tersebut juga tidak pernah diserahkan kepada ADMIC. Saya mengetahui hal ini kerana saya tahu arahan Jasmine merupakan arahan daripada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Lo, juga datang daripada Datuk Seri Najib,” katanya.

Mohd Hazem berkata pada September 2013, beliau ada menghubungi Jho Low untuk meminta kebenaran membawa balik dana-dana 1MDB yang disimpan di luar negara bagi tujuan pembiayaan pengambilalihan satu stesen jana kuasa gas bebas oleh 1MDB iaitu JIMAH Energy Ventures.

“Jho Low bagaimanapun memaklumkan dana-dana tersebut tidak boleh digunakan kerana ia adalah untuk UMNO. Setelah mendengar hal ini, saya pun faham bahawa Datuk Seri Najib mengawal kewangan ini untuk tujuan parti UMNO.

“Akhirnya, 1MDB terpaksa berusaha mencari pembiayaan yang baharu untuk membayar kos pengambilalihan JIMAH menggunakan pinjaman daripada bank tempatan. Saya berasa kecewa dan risau kerana 1MDB tidak henti-henti meminjam wang sedangkan sudah terlalu banyak wang pembiayaan yang telah dipinjam dan boleh digunakan untuk operasi syarikat terutama sekali wang di luar negara,” kata saksi itu.

Mohd Hazem berkata hingga beliau meletakkan jawatan sepenuhnya di 1MDB, masih terdapat wang dalam akaun 1MDB GIL yang mana separuh telah dilaburkan oleh pengurus dana di BSI Singapura. 

 “Wang ini juga ada digunakan pada pertengahan 2013 untuk membeli tanah Ayer Itam Estate Lands di Pulau Pinang lebih kurang RM1 bilion, membayar balik hutang bank Standard Chartered lebih kurang RM2 bilion dan mungkin juga ada digunakan untuk beberapa kos-kos untuk membayar faedah pinjaman yang lain.

 “Saya tidak mempunyai akses dan kawalan ke atas dana ini walaupun saya merupakan CEO dan saya berkali-kali membuat permintaan kepada Jho Low untuk membawa pulang dana  tersebut untuk membiayai keperluan 1MDB,” katanya.

 Menurut Mohd Hazem, maklum balas yang diterima daripada Jho Low ialah dana itu tidak dapat dibawa pulang kerana ia merupakan keperluan UMNO. 

 “Tetapi saya telah dimaklumkan oleh pengerusi 1MDB ketika itu, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin bahawa Datuk Seri Najib tidak membenarkan dana ini dibawa pulang. Walaupun tiada sebab jelas diberikan, saya harus patuhi perkara ini kerana ia datang daripada Datuk Seri Najib. 

 “Jadi saya faham bahawa sememangnya semua perkara ini adalah dalam pengetahuan beliau dan saya perlu mematuhi arahan tersebut,” katanya.

Berkenaan usaha sama ADMIC, Mohd Hazem berkata antara perkara yang dirancang Jho Low bagi mempercepatkan terbitan bon untuk projek itu ialah meletakkan terma-terma dalam kertas kabinet untuk sumber pembayaran balik hutang sebelum dikemukakan kepada Kementerian Kewangan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan.

“Hal ini jelas bahawa Datuk Seri Najib mengetahui perkara tersebut. Saya menerima makluman itu melalui e-mel pada 6 Feb 2013 manakala kemas kini kepada Datuk Seri Najib telah dibuat pada 5 Feb 2013.

“Secara kesimpulannya, saya dapat katakan ia sememangnya telah diatur dengan cara yang sangat tersusun oleh Jho Low atas arahan dan kelulusan Datuk Seri Najib dan beliau mempunyai kawalan sepenuhnya terhadap tindakan Jho Low,” katanya.

 Saksi itu berkata perkara tersebut dapat dilihat dari segi pengeluaran surat sokongan yang mana tanpa kebenaran dan kelulusan Najib  tidak dapat dikeluarkan dengan sela masa yang sangat singkat.

 Najib, 67, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

 Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

-- BERNAMA

 

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan